Kerajaan NS serah sumbangan kepada waris Adnan

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga, kanan) menyampaikan sumbangan kepada keluarga anggota Bomba Adnan Othman yang terkorban ketika tragedi Lombong Taman Putra Perdana Puchong 3 Oktober lepas.- Foto Bernama
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga, kanan) menyampaikan sumbangan kepada keluarga anggota Bomba Adnan Othman yang terkorban ketika tragedi Lombong Taman Putra Perdana Puchong 3 Oktober lepas.- Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Kerajaan Negeri Sembilan hari ini menghulurkan sumbangan kepada keluarga dan balu anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Adnan Othman di sini.

Sumbangan RM10,000 disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam satu majlis penyerahan di kediaman keluarga Allahyarham Adnan di Lukut di sini.

Aminuddin ketika ditemui pemberita berkata, walaupun sumbangan berkenaan agak lewat, namun ia merupakan sumbangan ikhlas kerajaan bagi menghargai jasa dan pengorbanan Adnan.

“Kita menyerahkan sebanyak RM5,000 kepada bapa Allahyarham iaitu Othman Surati dan RM5,000 kepada balu Allahyarham Norshamiza Salleh.

“Sebenarnya kita nak hulurkan bantuan awal lagi tetapi disebabkan ketika itu berlangsung PRK Port Dickson, maka ianya tak sesuai. Pun begitu saya harap sumbangan ini dapat meringankan bebanan keluarga wira negara ini,” katanya.

Menteri Besar turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas kehilangan anak dan suami.

Pada 3 Oktober tahun lepas, enam anggota PPDA termasuk Adnan, 34, lemas ketika operasi mencari seorang remaja di lombong Taman Putra Perdana Puchong.

Adnan meninggalkan Norshamiza dan dua anak Nur Aisyah Damia, 5 dan Nur Aliyah Maisara, 3.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Othman turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang dihulurkan kerajaan negeri dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat manakala Norshamiza pula melahirkan rasa terharu atas sumbangan tersebut.

“Saya tak sangka benda dah berlalu lama tapi masih ada lagi yang ziarah keluarga kami. Saya rasa terharu dan amat berterima kasih,” kata Norshamiza.

Katanya, walaupun telah empat bulan berlalu, anak sulung pasangan itu Nur Aisyah Damia masih sering terkenangkan arwah bapanya.

“Dia sudah boleh faham cuma dia setiap hari akan bercerita mengenai tempat-tempat kesukaan ayahnya,” katanya.

Terdahulu, majlis penyerahan sumbangan itu dimulakan dengan bacaan tahlil yang disertai 40 orang termasuk ahli keluarga, jiran tetangga dan anggota JBPM Negeri Sembilan.

Turut hadir, Pengarah JBPM negeri Norazam Khamis.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!