Putera raja Pahang pertama tawan puncak Gunung Tahan

Tengku Hassanal menjadi putera raja Pahang pertama yang berjaya sampai ke puncak Gunung Tahan. - Foto Instagram Tengku Hassanal Shah
Tengku Hassanal menjadi putera raja Pahang pertama yang berjaya sampai ke puncak Gunung Tahan. - Foto Instagram Tengku Hassanal Shah
A
A
A

KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi putera raja Pahang pertama yang berjaya sampai ke puncak Gunung Tahan di Jerantut.

Menariknya, sebagai simbolik menjejakkan kaki di puncak gunung tertinggi Semenanjung Malaysia itu, Tengku Hassanal meninggalkan kesan tapak kaki pada binaan konkrit yang menjadi lambang ketibaan baginda di sana.

Pemandu arah, Mohd Fadirulnizam Mohd Podzi, 32, berkata, kembara itu disertai lebih 40 orang terdiri daripada 30 pegawai dan anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), tujuh anggota dan pegawai Unit Tindakan Khas.

Menurutnya, Eksesais Kembara Makmur, ekspedisi memanjat gunung yang bermula pada 1 Ogos lalu dan berakhir semalam turut disertai empat kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang dan tujuh pemandu arah alam semula jadi (nature guide).

Kembara bergambar kenangan di puncak Tahan. - Foto Nature Guide
Kembara bergambar kenangan di puncak Tahan. - Foto Nature Guide

"Kami bertolak pada 1 Ogos dari Kuala Jeram sekitar jam 9.30 pagi dan sampai di Kem Kor pada jam 3 petang. Keesokannya, pada 2 Ogos kami bergerak dari Kem Kor pada jam 9 pagi dan tiba di Kem Botak pada jam 6 petang.

"Seterusnya pada 3 Ogos kami bergerak dari Kem Botak ke puncak Tahan bermula jam 5 pagi dan sampai puncak sekitar 6.30 pagi. Sampai di sana kami menjayakan simbolik memori Tuanku meninggalkan tapak kaki di puncak Tahan menggunakan konkrit.

Artikel Berkaitan:

Simbolik Tengku Hassanal menjejakkan kaki di puncak Tahan dibuat menggunakan simen konkrit.
Simbolik Tengku Hassanal menjejakkan kaki di puncak Tahan dibuat menggunakan simen konkrit.

"Tuanku juga menunaikan solat Subuh di puncak dan melakukan takbir raya serta menunaikan solat hajat tanda syukur di atas kejayaan kembara ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menjadi kebanggaan dan kegembiraan bagi Mohd Fadirulnizam serta rakan-rakan kerana diberi peluang mengiringi Tuanku dalam ekspedisi tersebut kerana baginda sangat merendah diri malah mengajak kesemua nature guide makan bersama-sama.

"Kami bertolak turun jam 11 pagi dari Kem Botak dan Tuanku sampai jam 7 petang di Kem Kor bersama para peserta. Pada 4 Ogos kembara bergerak dari Kem Kor pada jam 10 pagi dan tiba di Kuala Jeram sekitar jam 2 petang. Tuanku sempat bersantap tengahari dan menyempurnakan majlis penyampaian sijil kepada semua peserta.

Mohd Fadirulnizam (kanan) merakam foto kenangan bersama Tengku Hassanal.
Mohd Fadirulnizam (kanan) merakam foto kenangan bersama Tengku Hassanal.

"Dari segi makan dan tempat tidur Tuanku memang sempoi, tak memilih dan malam akhir di Kem Kor, Tuanku bersantap bersama-sama kami beramai-ramai," katanya yang sempat merakam foto peribadi bersama Tengku Hassanal.

Kejayaan Pemangku Raja Pahang sampai ke puncak Gunung Tahan setinggi 2,187 meter itu menunjukkan sokongan baginda terhadap pelancongan domestik apabila menjadikan Gunung Tahan sebagai destinasi pilihan.

"Diharap dengan aktiviti sebegini dapat merancakkan lagi pelancongan domestik negara dan pelancongan negeri Pahang sekali gus membantu kami pemandu arah alam semula jadi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!