15 anggota APM, bomba angkat lelaki obesiti
MELAKA - Seramai 15 anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Daerah Melaka Tengah dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu memindahkan seorang lelaki obesiti di Taman TAKH, Ayer Keroh ke Hospital Melaka petang semalam.
Pengarah APM negeri, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, tugas memindahkan Awaludin Abd Aziz, 55, yang mencecah 200 kilogram itu dilakukan kira-kira jam 5.35 petang dan mengambil masa sejam.
Menurutnya, lelaki berkenaan perlu mendapatkan rawatan kerana mengalami sesak nafas.
"Pihak kami dimaklumkan daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memerlukan bantuan lori untuk menghantar mangsa ke hospital kerana keadaan fizikal mangsa.
"Mangsa kemudian diangkat masuk ke dalam lori jenis MAN milik APM bersama petugas perubatan," katanya.
Tambahnya, lelaki itu juga telah diberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital serta dipantau pasukan pegawai perubatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!