Sultan Nazrin sedia jadi Timbalan Agong

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Jan 2019. - Foto Bernama
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Jan 2019. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH – Keprihatinan serta rasa tanggungjawab Sultan Perak Sultan Nazrin Shah kepada rakyat sekali lagi diterjemahkan apabila baginda menawarkan diri sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Pemilihan semula Sultan Perak untuk jawatan tersebut yang mula dipegang pada 13 Disember 2016 dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.

Mesyuarat tersebut turut menyaksikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Anggota Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, pemilihan Sultan Nazrin menunjukkan proses pemilihan pada mesyuarat tersebut berjalan dalam semangat ukhuwah dan muhibah.

"Raja-raja menghormati penggiliran yang mana sekarang giliran Pahang untuk menjadi Agong, kemudian Raja-raja tawarkan jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kepada Johor.

"Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak menawarkan diri, Sultan Perak bersedia menawarkan diri serta mengambil tanggungjawab sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan ia tidak dibantah oleh semua Sultan," katanya.

Tambah Mohd Annuar, proses pemilihan yang teratur, tersusun, tertib dan beradab itu juga jelas mencerminkan bahawa Raja-Raja Melayu mempunyai pekerti yang tinggi selain turut mengutamakan rakyat.

“Tiada lobi melobi, tiada ‘undermining’ mengatakan orang itu bagus atau tidak, saling hormat menghormati untuk kebaikan rakyat dan negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemilihan Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin dapat meneruskan kesinambungan Sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.

Dalam kenyataan ringkas, Ahmad Faizal berkata: "kerajaan negeri mendoakan agar Sultan Abdullah terus dikurniakan keafiatan dan hidayah dalam menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16". - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!