Keluarga Adib tidak puas hati cadangan pertuduhan lebih ringan

Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tidak berpuas hati dengan cadangan kerajaan untuk membuka semula kertas siasatan dengan pertuduhan lebih ringan ke atas suspek yang didakwa mengakibatkan kematian anggota bomba tersebut.
Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tidak berpuas hati dengan cadangan kerajaan untuk membuka semula kertas siasatan dengan pertuduhan lebih ringan ke atas suspek yang didakwa mengakibatkan kematian anggota bomba tersebut.
A
A
A

ALOR SETAR - Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tidak berpuas hati dengan cadangan kerajaan untuk membuka semula kertas siasatan dengan pertuduhan lebih ringan ke atas suspek yang didakwa mengakibatkan kematian anggota bomba tersebut.

Bapa Allahyarham Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid berkata, mereka sekeluarga mengetahui cadangan untuk mendakwa semula 12 suspek menyebabkan kematian anak lelakinya itu seperti dibangkitkan dalam Sidang Dewan Rakyat kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, dia tertanya-tanya mengapa cadangan pertuduhan semula ke atas suspek bukan disebabkan membunuh anggota bomba itu.

"Kami tidak faham mengapa cadangan pendakwaan semula suspek menyebabkan kematian arwah Adib bakal dilakukan di bawah seksyen lebih ringan dan tidak disebabkan membunuh.

"Oleh sebab itu, saya akan menghubungi peguam untuk mendapatkan makluman tentang perkara tersebut," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Kassim berkata, dia berharap kematian anak lelakinya mendapat pembelaan sewajarnya, sekali gus cadangan berkenaan harus diteliti sebaik mungkin.

Bagaimanapun, katanya, cadangan mengadakan semula inkues dikhuatiri sekadar membuang masa dan tenaga sedangkan kematian anaknya hampir dua tahun belum mendapat keadilan sewajarnya.

Katanya, mereka sekeluarga juga mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak meneruskan siasatan berdasarkan kepada keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September tahun lepas yang memutuskan kematian anak lelakinya disebabkan perbuatan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kertas siasatan kes Muhammad Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lepas dengan disusuli beberapa cadangan.

Antara cadangan dikemukakan ialah 12 suspek didakwa semula mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan membuka semula inkues untuk siasatan jika mendapat persetujuan daripada Peguam Negara.

Seksyen 143 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda atau kedua-duanya atas kesalahan penyertaan dalam perhimpunan menyalahi undang-undang.

Pada 27 November 2018, Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera parah dalam rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor.

Muhammad Adib meninggal dunia 21 hari kemudian.

Sebelum ini, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!