Selamatkan kapal tempur pesisir kita
Rakyat Malaysia wajib menyedari bahawa saat ini kedaulatan negara kita berdepan cabaran yang cukup getir. China berulang kali menceroboh dan menuntut wilayah Zon Ekonomi Eksklusif kita, manakala Filipina pula tidak ketinggalan mengulangi dakwaan bahawa Sabah adalah milik mereka.
Dalam keadaan kita dicabar di arena diplomasi, perancangan kita di medan ketenteraan pula dikejutkan dengan perkembangan yang cukup mendukacitakan. Kementerian Pertahanan mengumumkan bahawa kita terpaksa menimbang untuk menamatkan kontrak syarikat kontraktor yang membekalkan enam aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) jenis kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat mendedahkan bahawa meskipun kementeriannya sudah membayar RM6 bilion daripada harga kos pembinaan kapal berkenaan, tiada satu pun kapal yang telah disiapkan sedangkan dua daripada enam LCS sepatutnya sudah diterima.
Kini terdapat tiga cadangan hala tuju yang akan dikemuka ke Kabinet sebagai langkah menyelamatkan semula kontrak itu. Opsyen pertama, projek diteruskan dengan melantik Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat melalui Surat Ikatan Penyerahan Hak dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd menggunakan baki siling kontrak bagi menyiapkan sekurang-kurangnya dua unit LCS.
Opsyen kedua pula, projek diteruskan oleh Boustead dengan baki siling kontrak menyiapkan sekurang-kurangnya dua unit LCS.
Opsyen ketiga, kontrak dengan Boustead ditamatkan dan kementerian akan memulakan usaha menyelamatkan kontrak.
Untuk rekod, rancangan pembinaan enam LCS bernilai RM9 bilion itu sepatutnya memantapkan pertahanan perairan negara. Ia memiliki keupayaannya yang tersendiri untuk bertempur dalam empat dimensi peperangan iaitu persenjataan untuk peperangan antiudara, antipermukaan laut atau air, antikapal selam dan peperangan elektronik. Malah, ia juga mampu beroperasi di pesisir pantai dan laut lepas untuk tempoh 21 hari tanpa penambahan bekalan.
Perancangan
Mengikut rancangan asal, kapal pertama LCS dikenali sebagai LCS1 yang direka cipta dan dibina sepenuhnya di negara ini dijangka siap pada 2018 dan akan diserahkan kepada TLDM pada pertengahan tahun 2019 manakala kapal terakhir diserahkan pada pertengahan 2023.
Pembinaan kapal LCS itu adalah selaras dengan usaha pemodenan TLDM dan mampu meningkatkan keupayaan tempur armada pasukan itu daripada empat kapal tempur kepada 10 kapal – sekali gus membolehkan lebih banyak operasi dapat disempurnakan dengan lebih pantas dan berkesan.Harapan semakin menggunung apabila pada Februari 2017, LCS pertama yang masih dalam proses pembinaan dijangka dapat diserahkan lebih awal kepada TLDM sebagaimana menurut Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Mohd Johari Baharum.
Beliau berkata, kapal tempur terbesar negara itu dijangka disiapkan dan diterima secara berperingkat bermula April 2019 berikutan ‘komitmen diberikan Boustead termasuk mempertingkatkan tahap pengurusan semasa kerja pembinaan dijalankan mampu menyiapkan LCS dalam masa lebih singkat’.
Malah, kapal pertama LCS dijangka dapat digunakan pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada tahun 2019 – namun kini segalanya jelas tidak kesampaian.Sebagai rakyat, kita tentulah berharap agar keputusan terbaik diambil oleh pihak kerajaan demi memastikan projek kapal LCS itu tidak berakhir dengan tragedi yang bakal menjejaskan usaha perlindungan kedaulatan kita dalam jangka masa panjang.
Janganlah memberi ruang kepada China dan Filipina untuk mencabar kedaulatan kita kelak dengan membiarkan TLDM tanpa tambahan aset yang signifikan. Selamatkanlah projek kapal tempur pesisir kita ini.
* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!