Harga siling pelitup muka boleh turun ikut keadaan bekalan

 Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

PUTRAJAYA - Harga siling pelitup muka yang diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.50 mulai 15 Ogos ini mungkin boleh diturunkan lagi berdasarkan penilaian berterusan ke atas kedudukan bekalan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, penurunan harga kepada RM1.20 itu diputuskan dua minggu sebelum kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos 2020 di dalam pengangkutan awam dan tempat tumpuan umum yang sesak, serta merupakan langkah berperingkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"KPDNHEP sedang memantau bekalan di peringkat pengeluaran, pengimportan dan di peringkat runcit bagi tujuan menentukan penurunan harga maksimum yang wajar berdasarkan kepada situasi pasaran semasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 23 Julai lepas, Nanta mengumumkan harga siling pelitup muka diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.50 seunit bermula 15 Ogos, manakala harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama.

Nanta berkata, kementerian juga telah mewartakan larangan eksport produk itu di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) (Pindaan) 2020 bagi memastikan bekalan pelitup muka mencukupi dalam pasaran bagi memenuhi keperluan semasa.

Larangan yang berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 itu dilaksanakan kerana kerajaan khuatir situasi kekurangan bekalan peringkat dunia berulang dan seterusnya menyebabkan harga meningkat secara mendadak, kata Nanta.

Menurutnya, melalui pemantauan bekalan dan pengeluaran ke atas lapan kilang pelitup muka tempatan bermula April hingga 28 Julai lepas, didapati sebanyak 78 juta unit produk itu telah dikeluarkan dan diedarkan dalam pasaran.

"Didapati tidak ada masalah bekalan atau kekurangan pelitup muka di pasaran pada ketika ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, pengguna kini mendapatkan pelitup muka jenis fabrik sebagai alternatif dan ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pelitup muka pakai buang.

"KPDNHEP memberi jaminan akan sentiasa mencari pendekatan terbaik yang seimbang demi kepentingan pelbagai phak bagi memastikan harga pelitup muka dapat dikawal, sekali gus memastikan keberadaannya di dalam pasaran dapat dikekalkan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!