Tanam kulat tepi rumah demi bantu asnaf
KUALA KRAI- Betapa mulianya pasangan aktivis masyarakat daripada Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf di sini yang sanggup menanam kulat di tepi rumah demi membantu kumpulan kurang bernasib baik.
Usaha murni yang dilakukan oleh Che Norhayati Mohamed, 54, bersama suaminya, Mejar (B) Md Sabri Said, 62, itu dimulakan sejak tiga bulan lalu secara kecil-kecilan di kediamannya di Desa Kasih, Jalan Pintas Taman Krai, di sini.
Che Norhayati berkata, buat permulaan dia dan suaminya menanam 1,000 bongkah cendawan tiram kelabu dan cendawan kukur menggunakan duit poket sendiri.
“Selain bersama rakan-rakan aktivis lain turun padang menghulurkan bantuan makanan dan sebagainya, saya terfikir lebih baik Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf membuat sesuatu yang boleh membantu mereka secara berpanjangan.
“Dari situlah kami tanam cendawan supaya golongan asnaf mendapat manfaatnya. Sekurang-kurangnya boleh membimbing mereka berdikari demi mengubah nasib keluarga sedikit demi sedikit tanpa mengharapkan bantuan penuh daripada orang lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Che Norhayati berkata, apa yang dilakukan olehnya adalah menjual kedua-dua jenis kulat tersebut secara dalam talian selain dijual kepada penduduk sekitar dan hasil jualannya dijadikan dana kepada pertubuhan untuk membantu golongan memerlukan.
“Cendawan kukur yang segar ini kami akan bungkus dan jual pada harga RM5 untuk 50 gram manakala kulat kering pula RM5 untuk 20 gram. Kami jual mengikut harga mampu bayar supaya lebih ramai yang boleh membantu.
“Duit inilah kami guna untuk beli baju sekolah, jika ada yang perlukan, beli lampin pakai buang, beras dan sebagainya,” katanya.
Selain itu katanya, keluarga asnaf yang dibantu juga diberikan 20 bongkah cendawan tiram kelabu dan 20 bongkah cendawan kukur untuk ditanam sendiri di rumah mereka.
“Tanaman ini sangat mudah dijaga dan hasilnya mereka jual untuk diri sendiri dan sudah tentulah ini boleh menambah pendapatan keluarga kerana harganya juga agak mahal dan mendapat sambutan.
“Kita ajar cara mereka tanam dan tuai. Setakat ini 10 keluarga asnaf sekitar Kelantan sudah mula menanam di rumah mereka. Saya dapat lihat kesungguhan mereka. Itu yang kita nak, mereka berusaha untuk ubah diri,” katanya.
Harga cendawan kukur boleh mencecah RM250 satu kilogram dan cendawan tiram kelabu dijual sekitar RM15 satu kilogram.
Che Norhayati berkata, dia berhasrat untuk menanamnya secara besar-besaran sekiranya terdapat pihak yang ingin membantu usaha murni digerakkan oleh Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!