Malaysia tertarik komitmen Thailand tangani isu kanak-kanak terbiar

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK – Malaysia boleh belajar sesuatu daripada kaedah yang dilaksanakan Thailand dalam menangani isu bayi dan kanak-kanak terbiar serta anak-anak yang tidak mempunyai kerakyatan di negara itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata Malaysia tertarik dengan komitmen kerajaan negara jiran itu dalam memastikan kanak-kanak tersebut turut mendapat pembelaan sewajarnya.

"Saya telah mengadakan lawatan ke Thai Red Cross Children’s Home (RCCH) dan tertarik dengan keprihatinan kerajaan Thailand untuk memastikan bayi dan kanak-kanak ini mendapat perhatian sewajarnya agar keperluan asas mereka seperti pendidikan dan kesihatan dapat diberikan," katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini, hari ini.

Katanya beliau tertarik dengan usaha yang dilakukan pusat berkenaan dalam mencari keluarga terdekat kepada kanak-kanak yang terbiar yang diambil berlindung di pusat berkenaan.

"Mereka cari dulu keluarga sebenar atau keluarga terdekat dan mereka kembalikan, berbalik kepada keluarga jika miskin bagaimana pusat ini boleh tolong mereka ambil anak yang terbuang itu malah pusat perlindungan ini juga mempunyai program pengambilan anak angkat termasuk dari luar negara," katanya.

Timbalan Perdana Menteri tiba di sini pagi ini untuk lawatan rasmi dua hari ke ibu kota Thailand dan disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pengambilan Anak Angkat RCCH Prof Madya Dr Khunying Saree Chitinand, Ketua Bahagian Kebajikan Kanak-kanak Voraporn Keavalin dan Bendahari rumah perlindungan itu, Pariya Aungsuvon.

Dr Wan Azizah diberikan taklimat video dan pengenalan tentang rumah perlindungan itu yang menempatkan lebih 600 kanak-kanak terbiar sejak penubuhannya 38 tahun yang lalu.

Rumah itu ditubuhkan pada 17 Sept, 1981, atas keprihatinan Puteri Maha Chakri Sirindhorn, Naib Presiden Eksekutif Thai Red Cross Society, bagi bayi yang ditinggalkan ibu mereka selepas dilahirkan di Chulalongkorn Memorial Hospital, Queen Sawangvatana Memorial Hospital di Sri Racha, dan agensi Red Cross Thailand yang lain.

Artikel Berkaitan:

Rumah itu memberi penjagaan kepada kanak-kanak yang terbiar dalam usaha membantu mereka merealisasikan potensi perkembangan fizikal, mental dan sosial. Penjagaan perubatan juga disediakan oleh pakar pediatrik, jururawat dan sukarelawan di sana.

Rumah itu mengurus tidak lebih daripada 50 kanak-kanak pada satu-satu masa dan ketika ini, ia menempatkan 47 orang terdiri daripada bayi sehinggalah kanak-kanak berumur tujuh tahun, yang terbiar.

Pentadbir rumah itu turut mengesan ibu bapa atau saudara-mara 117 kanak-kanak yang terbiar untuk disatukan semula dengan keluarga mereka sejak 34 tahun yang lalu.

RCCH telah diberikan kebenaran yang sah untuk memberikan khidmat pengambilan anak angkat bagi kanak-kanak yang terbiar sejak tahun 1981, dan 579 kanak-kanak telah dijadikan anak angkat dengan 110 kanak-kanak diambil oleh keluarga Thai manakala 469 orang lagi menjadi anak angkat pasangan dari 16 negara.

Sementara itu, Dr Khunying Saree, 88, ketika ditemui pemberita berkata rumah perlindungan itu antara lain menyediakan khidmat pengambilan anak angkat, pusat jagaan harian, latihan vokasional bagi belia yang kurang bernasib baik dan dana pendidikan bagi kanak-kanak yang terjejas akibat tsunami.

Beliau berkata sukarelawan dan kakitangan juga membantu mempertemukan semula anak-anak yatim yang berdaftar di rumah perlindungan itu dengan saudara kandung masing-masing.

"Kami bekerjasama dengan pekerja sosial untuk membawa ke sini kanak-kanak yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka. Ada antara kanak-kanak ini ditinggalkan di hospital ketika sedang menjalani rawatan, kami kemudian akan berusaha mencari dan menyatukan semula mereka dengan keluarga mereka terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk dijadikan anak angkat,” kata ahli pediatrik itu yang menjadi sukarelawan Red Cross selama lebih 40 tahun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!