Jangan jadi pemandu ‘tidak siuman’
VIDEO kejadian kemalangan jalan raya yang berlaku akibat sikap pemandu kereta yang menukar lorong secara tiba-tiba sehingga menyebabkan kecederaan penunggang motosikal ternyata mendapat perhatian banyak pihak.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, misalnya, meluahkan rasa kecewa dengan sikap pemandu berkenaan yang disifatkannya ‘tidak siuman dan hilang akal’ kerana tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Mungkin pemandu kereta ini orang yang tidak siuman dan hilang akal, bayangkan nyawa orang lain dia tidak hiraukan. Apa kata kalau lori besar hentam keretanya pula?” katanya di Twitter.
Sementara itu, pelakon Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 35, berkata, beliau fobia apabila melihat kejadian sebegitu dan meminta pengguna jalan raya lebih berhati-hati.
“Tolong janganlah memandu macam ini. Peringatan untuk diri saya sendiri dan semua orang juga. Kesian dekat abang-abang motor itu,” kata beliau di laman Instagramnya.
Sudah tentu pemanduan berbahaya pemandu kereta itu mendapat kritikan warga maya, malah ada yang menyifatkannya sebagai mementingkan diri sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Video berdurasi 49 saat yang tular di media sosial memperlihatkan sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna putih berada di lorong tengah, barangkali sudah terlajak, menukar haluan secara tiba-tiba untuk memasuki susur keluar di sebelah kiri.
Tindakan itu menyebabkan sebuah motosikal yang melalui lorong kiri tidak dapat mengelak dan melanggar bahagian hadapan kereta Alza terbabit.
Lebih malang lagi, penunggang motosikal itu terjatuh dan dilanggar sebuah lagi motosikal dari arah belakang.
Saya sendiri pernah menghadapi situasi seperti itu ketika menunggang motosikal baru-baru ini. Bawa motosikal memang seronok. Lebih mudah dan pantas kalau nak ke mana-mana. Tapi sebenarnya penunggang motosikal terdedah dengan bermacam-macam bahaya atas jalan raya. Ini yang menyebabkan isteri selalu rungsing bila saya hendak menunggang ‘kuda liar’ saya.
Dalam perjalanan dari Banting menuju ke Shah Alam itu, saya nyaris menghentam sebuah kereta yang secara tiba-tiba menukar lorong tanpa memberikan lampu isyarat.
Marah? Sudah tentu. Ibarat nyawa berada di hujung tanduk. Nasib baik saya sempat menekan brek dan berjaya mengelak kenderaan tersebut. Kalau tidak, tak tahulah apa yang terjadi. Paling menyakitkan hati, pemandu kereta itu langsung tidak menunjukkan rasa bersalah.Jika kita mahu menukar lorong atau membelokkan kenderaan, yang pertama sekali kita kena lakukan adalah memberikan signal kiri atau kanan. Selepas itu, baru kita lihat cermin pandang belakang atau cermin sisi untuk memastikan keadaan selamat.
Tapi malangnya dua cermin itu hanya berfungsi sebagai perhiasan sahaja. Beli kereta mahal-mahal tapi tak tahu nak menggunakannya.
Isyarat
Jangan sesekali menukar lorong dahulu kemudian baru nak berikan signal, atau memberikan signal sambil menukar lorong. Ambil masa paling kurang tiga saat daripada waktu memberikan isyarat itu barulah mula membelokkan kenderaan.
Isu penggunaan lorong yang betul memang menjadi satu masalah yang besar bagi segelintir pengguna jalan raya di negara ini. Jika anda teragak-agak untuk masuk persimpangan yang mana satu, saya sarankan anda memilih lorong tengah. Peka dengan tanda arah jalan dan jangan memandu laju. Jangan menukar lorong seperti pemandu drift!
Seeloknya pandu dengan kelajuan sederhana dan bersedia untuk menukar laluan tanpa menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. Kalau sudah terlajak, teruskan sahaja dan buat pusingan U di hadapan.
Ini belum lagi yang tiba-tiba reverse kereta kerana terlepas simpang. Seperti kata Bung, jangan jadi pemandu yang kurang siuman.
Sebagai rakyat yang bertamadun, tolak ansur ketika memandu, sikap prihatin dan berhati-hati mampu mengurangkan risiko kemalangan yang bahayanya bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga pengguna yang lain.
* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!