Jepun memperingati 75 tahun pengeboman atom Hiroshima
TOKYO - Jepun mendesak seluruh dunia bersatu menentang ancaman terhadap manusia termasuk yang berasal daripada senjata nuklear sebagai memperingati ulang tahun ke-75 pengeboman atom Hiroshima hari ini, lapor agensi berita Xinhua
Datuk Bandar Hiroshima, Kazumi Matsui berkata, negara-negara harus mengetepikan perbezaan mereka dan bersatu untuk mengatasi ancaman buatan manusia dan cabaran alam.
"Masyarakat awam mesti menolak nasionalisme yang mementingkan diri dan bersatu menentang semua ancaman,” Matsui berkata pada upacara tahunan di Peace Memorial Park.
Upacara peringatan dikurangkan kerana penularan Covid-19 di Jepun dan keperluan untuk mengekalkan jarak sosial.
Suasana hening seketika apabila semua yang hadir termasuk Perdana Menteri Shinzo Abe bertafakur pada jam 8.15 pagi waktu tempatan, iaitu waktu bom atom yang mengandungi uranium 'Little Boy' dijatuhkan pengebom AS meletup di Hiroshima pada 6 Ogos 1945.
Bom itu mengorbankan kira-kira 140,000 orang sehingga akhir tahun 1945.
Walaupun Jepun tidak menandatangani Perjanjian Larangan Senjata Nuklear, Abe dalam ucapannya, berkata negara-negara tidak boleh membiarkan perbezaan pendirian mengenai senjata nuklear semakin meluas.
"Setiap negara harus meningkatkan usaha untuk menghilangkan rasa tidak percaya melalui penglibatan dan dialog bersama di tengah-tengah persekitaran keselamatan yang teruk dan memperluas perbezaan antara kedudukan negara-negara mengenai perlucutan senjata nuklear," kata Abe.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan, jumlah mangsa yang terselamat daripada dua pengeboman atom termasuk Nagasaki yang dikenali sebagai hibakusha dengan purata usia 83.31 tahun, menurun sebanyak 9,200 dari tahun sebelumnya kepada 136,682 orang.
Sementara Jepun memperingati tragedi yang dialaminya pada akhir Perang Dunia II, sejarawan dan pemikir politik masyarakat antarabangsa telah mendorong Jepun untuk melihat diri mereka bukan hanya sebagai mangsa pengeboman atom tetapi juga sebagai pelaku yang menyebabkan tragedi itu berlaku sejak mula lagi.
Jepun menjajah banyak kawasan di Asia sebelum dan semasa Perang Dunia II dengan kejam, menyebabkan penderitaan dan kematian yang tidak terkira kepada ratusan ribu mangsa yang tidak bersalah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!