Malaysia di landasan betul bagi wujud platform ID digital

Adrian Abdul Ghani
Adrian Abdul Ghani
A
A
A

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yakin Malaysia sedang berada di landasan yang betul dalam mengusahakan projek bagi mewujudkan sebuah plattform identiti baharu dipanggil 'ID Digital’.

Ketua Bahagian Perkhidmatan Digital dan Platform Data, Adrian Abdul Ghani berkata 2019 merupakan tahun bidang ID Digital di mana ia sedang dirumuskan untuk menyediakan platform identiti ditentusahkan dan dipercayai dalam dunia maya.

"Pada dasarnya, ID Digital membolehkan kami memastikan dan membuktikan identiti orang terutama mereka yang menjalankan perniagaan atau mengendalikan urusan melalui kaedah dalam talian.

“Dengan pengenalan identiti, orang boleh memastikan mereka sedang berurusan dengan orang yang betul dalam talian,” katanya semasa menjadi ahli panel pada Sidang Kemuncak Tech MYNIC 2019 (MYTS2019) di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai langkah seterusnya untuk merealisasikan ID Digital, Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah mengemukakan cadangan kepada Kabinet supaya program ID Digital dilaksanakan.

Adrian berkata projek ID Digital termasuk beberapa fasa sebelum dilaksanakan seperti landskap kajian dan tehnologi serta pulangan terhadap kos.

“Saya menjangka tahun ini banyak perkara akan berlaku...kajian itu mungkin akan selesai pada suku kedua tahun ini dan selepas itu tumpuan kepada usaha lain untuk dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, semasa merasmikan MYTS2019, menggesa para pemain industri untuk bertindak pantas dan seiring dengan kemajuan pesat dalam revolusi teknologi digital.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata teknologi maklumat dan komunuikasi (ICT) sedang berubah dan membina masyarakat agar lebih berdaya tahan dan mampan kerana ia berpotensi luar biasa untuk meningkatkan pembangunan sosial dan ekonomi serta perlindungan alam sekitar.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Komunikasi dasn Multimedia, Tan Chuan Ou.

Eddin Syazlee berkata teknologi seperti keselamatan siber, tanda niaga dan identiti digital telah berkembang begitu pesat yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia mengubah cara kehidupan.

“Sama ada kita bersedia atau tidak untuk menghadapi transformasi digital, teknologi menjadi lebih saling berkaitan dengan kehidupan seharian saban tahun serta ia dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing di negara ini,” katanya.

Hampir 500 pengamal dan profesional ICT menyertai sidang kemuncak sehari itu dengan bertujuan meneroka trend semasa dalam industri serta berkongsi pengetahuan dalam mengenal pasti peluang perniagaan baharu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!