Rizal Nainy dilantik CEO SME Corp
KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) hari ini mengumumkan pelantikan Rizal Nainy sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SME Corp Malaysia yang baharu berkuat kuasa 21 Julai lalu.
Berkelulusan Imperial College, University of London dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Charles Sturt University, Australia, Rizal telah menyertai SME Corp sejak 1 Jun 2016.
Beliau sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Pelaksanaan dan Pemantauan di SME Corp yang bertanggungjawab untuk merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan program-program pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.
“Rizal berpengalaman selama enam tahun dalam bidang transformasi strategik di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk merangka strategi dan memacu program transformasi ekonomi,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Beliau telah ditugaskan bagi projek berprofil tinggi seperti bidang ekonomi utama elektrik dan elektronik (terutamanya dalam LED, Semikonduktor, Solar dan Elektronik Industri), inovasi, nanoteknologi, kenderaan elektrik, rel dan grid pintar.
“Dengan pengalaman luas lebih 20 tahun di kedua-dua sektor awam dan korporat, Rizal akan menerajui dan memperkukuhkan lagi operasi dan perkhidmatan SME Corp dalam memaju dan membangunkan PKS di Malaysia,” kata MEDAC. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!