Lelaki putus tiga jari, ditetak 40 kali

Abdullah (dua dari kanan) menunjukkan gambar ketua Geng Fuad yang dicari polis bagi membantu siasatan dua kejadian pergaduhan membabitkan dua kumpulan penarik kereta di Kota Bharu minggu lalu.
Abdullah (dua dari kanan) menunjukkan gambar ketua Geng Fuad yang dicari polis bagi membantu siasatan dua kejadian pergaduhan membabitkan dua kumpulan penarik kereta di Kota Bharu minggu lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang adik kepada ketua kumpulan penarik kereta cedera parah dengan 40 kesan tetakan seluruh badan dan putus tiga jari tangan kiri dalam kejadian pergaduhan ‘ala ninja’ membabitkan Geng Fuad dan Geng Khairul minggu lalu.

Mangsa berusia 32 tahun daripada ahli Geng Fuad diserang dengan kejam dipercayai menggunakan pedang samurai sebelum ditinggalkan dalam keadaan tenat di hadapan sebuah stor barangan besi buruk di Jalan Kampung Padang Enggang, Pasir Hor di sini pada jam 9.35 pagi, 30 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, siasatan awal mendapati serangan bermotifkan dendam selepas berlaku satu serangan di sebuah rumah di Taman KUB Cendana, Jalan Pasir Puteh di sini pada jam 4.07 pagi, 28 Julai lalu.

"Seramai 15 lelaki dipercayai dari Geng Fuad datang ke lokasi menaiki tiga kereta jenis BMW, Suzuki Swift dan Proton Waja. Mereka memakai topeng muka dan bersenjatakan 11 pedang samurai serta dua objek dipercayai pistol bertindak memecahkan cermin dua kereta, Perodua Myvi dan Mini Cooper serta membakar sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton selain melarikan tiga motosikal, dua Yahama 15ZR dan Ego.

"Bagaimanapun, tiada tembakan dilepaskan. Empat lelaki dan dua wanita dipercayai ahli Geng Khairul berjaya bersembunyi dan tidak cedera.

“Serangan pertama oleh Geng Fuad ini dilakukan akibat daripada Geng Khairul sebelum itu dikatakan menarik kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki teman wanita ketua Geng Fuad sebelum Geng Khairul pula dipercayai membalas dendam dengan menetak adik Fuad dengan kejam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis bertindak menahan 19 individu berusia 20 hingga 37 tahun termasuk ketua Geng Khairul berusia 31 tahun bersama 17 ahli kumpulannya manakala dua ahli Geng Fuad juga ditahan namun ketuanya yang berusia 33 tahun masih dicari polis.

“Enam daripada mereka ditahan di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas pada 30 Julai lalu sehingga semalam manakala terbaharu 13 lagi ditahan di Pendang, Kedah pada jam 7 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

“Tiga wanita yang ditahan termasuk seorang teman wanita Fuad dan isteri kedua Khairul,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek ditahan reman secara berperingkat bermula 30 Julai sehingga hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 436, 427, 379A, 326 dan 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, khianat dengan api, mencuri kenderaan, menyebabkan kecederaan parah dan memiliki senjata dalam rusuhan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!