Samakan UMNO, Bersatu dengan Pas, Amanah tidak tepat
SHAH ALAM - Pemimpin tertinggi Pas hari ini menafikan tanggapan bahawa UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) umpama Pas dengan Parti Amanah Nasional (Amanah).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan terdapat perbezaan antara UMNO dan Bersatu dengan Amanah.
Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Marang itu, beza antara kedua-dua parti tersebut dengan Amanah adalah dua parti itu tiada kerjasama dengan DAP manakala Amanah pula bergabung dengan DAP.
"Ada orang kata UMNO dan Bersatu macam Pas dengan Amanah. Tapi pada saya tak sama. Amanah ini parti yang bergabung dengan DAP.
"Bersatu ini tidak. Itu kena beza," katanya dalam kenyataan ringkas dimuat naik di Facebooknya sebentar tadi.
Amanah sebelum ini merupakan parti serpihan Pas manakala Bersatu pula merupakan serpihan UMNO.
Bersatu kemudiannya bekerjasama dengan UMNO dan Pas bagi menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional berikutan kerajaan Pakatan Harapan yang turut disertai Amanah tumbang selepas 22 bulan memerintah.
Dalam kenyataan berasingan sebelum ini, Abdul Hadi menegaskan bahawa pihaknya telah berjaya menyatukan tiga parti melibatkan Pas, UMNO dan Bersatu.
Sehubungan itu, beliau berkata, Pas tidak boleh berpisah sama ada dengan UMNO atau Bersatu.
Hantaran di Facebooknya itu turut memuat naik sekeping gambar beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pertemuan itu dipercayai membincangkan isu politik semasa melibatkan kerjasama ketiga-tiga parti tersebut yang kini berada dalam kerajaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Sebelum ini, UMNO menegaskan parti itu tidak akan menyertai gabungan Perikatan Nasional tetapi akan menyokong kerajaan yang kini diterajui Muhyiddin dan menegaskan akan memperkuatkan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional.
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan mahkamah pada 28 Julai lalu yang mendapati bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah dalam kes salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!