Maqis rampas daging kerbau dari India
BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menyita daging kerbau sejuk beku dari India dianggarkan seberat 27,996 kilogram (kg) yang bernilai RM435,927.04.
Produk berkenaan disita di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT) Selasa lalu berikutan dokumen yang diisytiharkan pada pembungkusan tidak sama seperti yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Pengarah, Zarina Ramli berkata, kontena yang mengandungi daging terbabit ditahan di tapak pemeriksaan kontena Penang Port, NBCT kira-kira jam 4.22 petang.
"Kesemua dagangan tersebut disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],"katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Zarina berkata, jika disabitkan kesalahan pihak bertanggungjawab boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali.
Sementara itu, Zarina berkata Maqis akan sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!