BN jangka satu lawan satu PRK Slim
TANJUNG MALIM - Barisan Nasional (BN) Perak tidak menolak kemungkinan berlakunya pertandingan satu lawan satu antara calon parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad atau dipanggil Bersatu Blackout pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ini.
Pengarah Operasi PRK DUN Slim, Mohd Zaidi Aziz berkata, ia berdasarkan situasi semasa yang mana jentera pasukan parti itu sudah dikesan memulakan gerakan masuk ke kawasan-kawasan untuk bertemu pengundi.
"Kemungkinan dua penjuru itu ada, kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah mengesahkan tidak menghantar calon, begitu juga Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP. Jika ada daripada Bersatu pun, itu dari kem lain.
"Buat masa ini kita tak nampak lagi ada pergerakan yang luar biasa, cuma mereka ada datang dua hari sudah dengan konvoi ramai-ramai bersama bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Menurutnya, gerakan awal dilakukan pasukan itu bagaimanapun dikatakan tidak mendapat sambutan.
"Mereka sudah mulakan gerakan, tetapi saya dimaklumkan dari segi sambutan itu tidak ada kerana kita sedia maklum yang mereka pun tidak punya ramai kekuatan (jentera) di sini kerana ramai ahli mereka yang sudahpun menyertai Bersatu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, BN tidak boleh merasa begitu selesa meskipun mendapat sokongan dan kerjasama kuat daripada Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRK ini.
"Dalam perkara ini, kita tak boleh ambil mudah kerana dalam konteks perang ini, kita kena sentiasa bersedia untuk berdepan siapapun calon lawan," katanya.
Terdahulu beliau menyaksikan pelepasan 24 kenderaan Wanita Bahagian sempena program Ziarah Kasih Skuad Sayang 3K di Felda Residence di sini disempurnakan Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.
Hadir sama, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.
Julai lalu, bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya menyatakan kesediaan meletakkan calon untuk menentang calon PN pada PRK DUN Slim selepas seorang ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyatakan bahawa tidak akan bertanding pada PRK tersebut.
Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Ogos sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 25 Ogos dan pengundian sebenar pada 29 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!