'Saya minta maaf, janji tak ulangi lagi'
SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memohon maaf kepada Dewan Rakyat selepas videonya menghisap vape ketika persidangan tular di media sosial.
Ahli Parlimen Sembrong itu turut berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
"Maaf, saya tidak sedar. Ia adalah tabiat baharu.
"Saya minta maaf kepada Dewan dan berjanji tidak akan mengulangi lagi," ciapnya di Twitter sebentar tadi.
Terdahulu, netizen @Mhd Shamin berkongsi sebuah klip video berdurasi sembilan saat di Twitter menunjukkan Hishamuddin menghisap vape sambil memakai pelitup muka semasa persidangan sedang berjalan.
"Adoiii buat hal betul laa," ciap Mhd Shamin.
Dia turut berkongsi video tersebut kepada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sambil menulis: "Dr Dzul tengok ini ada orang hisap vape dalam dewan."
Sehingga jam 4.30 petang tadi, video tersebut dilihat lebih 82 kali oleh warga maya dan diciap semula sebanyak 1,400 kali serta menerima lebih 700 komen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!