Zii Jia mara suku akhir Indonesia Masters

Lee Zii Jia - Foto Bernama
Lee Zii Jia - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terus mempamerkan persembahan mantap di Indonesia Masters apabila mara ke suku akhir di Istora Senayan, Jakarta, hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu, hanya mengambil masa 40 minit untuk menewaskan pemain Thailand, Sitthikom Thammasin, 21-13, 21-13 pada perlawanan pusingan kedua.

Zii Jia, yang mara daripada pusingan kelayakan, akan berdepan buat pertama kali dengan pemain sebaya dari Denmark, Anders Antonsen, pada suku akhir esok.

Antonsen, yang menghuni ranking ke-20 dunia, menempah slot suku akhir apabila mengalahkan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 21-11, 21-19 dalam masa 45 minit.

Dalam pada itu dua beregu campuran negara, pilihan keenam, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut melangkah ke suku akhir pada kejohanan bernilai US$350,000 (RM1.449 juta) itu.

Pada pusingan kedua, Peng Soon-Liu Ying menewaskan pasangan England, Ben Lane-Jessica Pugh 21-13, 21-10 dalam masa 31 minit manakala Soon Huat-Jemie Lai mengejutkan pasangan suami isteri dari England dan pilihan ketujuh, Chris-Gabrielle Adcock, 21-19, 21-23, 21-7 dalam saingan selama 57 minit.

Bagaimanapun, pasangan Soon Huat-Jemie akan menghadapi cabaran getir di suku akhir apabila berdepan dengan pilihan pertama, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China, esok.

Peng Soon-Liu Ying, pasangan profesional negara dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, pula akan menentang pasangan England Marcus Ellis-Lauren Smith untuk merebut tempat separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terkandas di pusingan kedua apabila tewas 21-13, 21-18 kepada pilihan kedua, Li Junhui-Liu Yuchen dari China.

Dua beregu wanita negara turut mengalami nasib sama apabila gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean kalah 21-19, 21-23, 14-21 di tangan beregu Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai manakala Vivian Hoo-Yap Cheng Wen gagal menandingi kehebatan gandingan pilihan kedua, dari Jepun,Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.

Beregu Jepun itu hanya mengambil masa 36 minit untuk melangkah ke suku akhir dengan kemenangan mudah 21-14, 21-13. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!