Pemimpin BJP maut ditembak
SRINAGAR - Seorang lelaki bersenjata tidak dikenali dipercayai militan menembak mati seorang pemimpin parti pemerintah India, Parti Bhartiya Janta (BJP) di India-Kashmir yang dikuasai India pada Khamis, kata polis.
Pemimpin itu dikenali Sajad Ahmad Khanday, diserang di luar kediamannya di kampung Vessu di daerah Kulgam, kira-kira 70 kilometer di selatan bandar Srinagar, ibu kota Kashmir yang dikuasai India, lapor agensi berita Xinhua.
Khanday juga merupakan ketua kampung.
Laporan berkata, selepas menyerang Khanday, penyerang melarikan diri dari tempat kejadian.
Sejurus kejadian, pihak berkuasa mengarahkan pasukan polis dan anggota separa tentera ke lokasi untuk mengesan penyerang.
Ia merupakan serangan kedua dalam masa kurang 48 jam di kawasan tersebut. Pada Selasa petang, seorang aktivis BJP ditembak dan cedera parah di kampung Akhran yang berdekatan.
Bulan lalu militan membunuh seorang pemimpin BJP bersama ayah dan saudaranya di wilayah Bandipora.
Perang gerila sedang berlaku antara militan dan tentera India yang ditempatkan di wilayah tersebut sejak 1989.
Kashmir, wilayah Himalaya yang dibahagi antara India dan Pakistan, dituntut penuh oleh kedua-duanya.
Sejak kemerdekaan mereka dari Britain, kedua-dua negara telah bertempur dalam tiga perang, dua daripadanya kerana mahu menguasai Kashmir.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!