KKM pertimbang laksana lesen wajib selain Remdesivir
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menimbang untuk melaksanakan pelesenan wajib (CL) bagi sesetengah jenis ubat-ubatan selain Remdesivir dalam usaha memastikan rakyat mendapat bekalan ubat pada harga berpatutan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Dalam sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, langkah itu merupakan jalan terbaik dalam memastikan harga ubat untuk merawat beberapa penyakit adalah murah di negara ini.
"(Bagaimanapun) perkara ini perlu dibawa kepada Mesyuarat Jemaah Menteri (untuk mendapatkan kelulusan)... kita mesti melaksanakan CL terhadap sesetengah ubat yang harganya begitu mahal (misalnya ubat antiviral) Remdesivir,” katanya menjawab celahan Charles Anthony Santiago (PH-Klang).
Charles bertanya sama ada kerajaan bercadang menggunakan CL untuk ubat-ubatan lain kerana bimbang rakyat khususnya golongan miskin tidak mampu membeli ubat dengan merujuk Remdesivir sebagai contoh bagi merawat seorang pesakit Covid-19 yang menelan kos RM10,000 hingga RM15,000.
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, ketika ini Malaysia tidak melaksanakan CL bagi Remdesivir sebagai protokol dalam rawatan Covid-19 tetapi hanya bagi ubat untuk merawat penyakit Hepatitis C.
“Kita ada CL (ubat untuk rawatan penyakit Hepatitis C) sehingga Oktober ini dan sedang cuba melanjutkan (tempoh CL) ubat ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!