PN Plus digesa pupuk keharmonian dan kerjasama menjelang PRN
KOTA KINABALU - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sabah menggesa ahli akar umbi dan pemimpin Perikatan Nasional (PN) Plus di Sabah bekerjasama dalam politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Timbalan Ketuanya, Ceaser Mandela Malakun berkata, kekuatan kesemua parti komponen dalam PN Plus bakal mampu menghadapi pihak lawan terutama Parti Warisan Sabah (Warisan).
Menurutnya, pengalaman pemimpin merupakan formula terbaik untuk PN Plus menang dan seterusnya menubuhkan kerajaan negeri untuk membela nasib rakyat Sabah.
“Gandingan mantap Bersatu, UMNO, PBS (Parti Bersatu Sabah), PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan STAR dalam PN Plus mampu membina satu kerjasama politik yang kukuh kerana kesemua parti memiliki kekuatan, keistimewaan dan kelebihan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mandela yang juga calon Naib Ketua Armada Nasional percaya perpaduan dan kerjasama positif menyelesaikan beberapa isu berbangkit sebelum ini.
“Kita sebagai ahli akar umbi perlu terus memberi sokongan dan kepercayaan tak berbelah bahagi kepada pemimpin kita dalam usaha memantapkan PN Plus di Sabah,” tambahnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah mengumumkan sebanyak 73 kerusi DUN akan dipertandingkan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan namun pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah.
Pada PRU14, Bersatu menang sembilan daripada 60 kerusi DUN Sabah manakala Warisan (31) DAP (6), UPKO (4), Parti Keadilan Rakyat (2) dan pembangkang mempunyai tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdiri daripada empat wakil Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dan tiga wakil STAR.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!