Putus kaki elak serpihan batu di tengah jalan
HULU TERENGGANU - Seorang lelaki putus kaki kiri selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 55, Jalan Sungai Gawi-Aring di Bukit Kawah pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa, Mustofa Kamal Abdullah, 33, dalam perjalanan ke Cameron Highlands bersama rakan-rakannya.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa menunggang motosikal dan berkonvoi bersama rakan-rakan dari arah Kuala Berang menghala ke Aring untuk pergi ke Cameron Highlands.
"Bagaimanapun, ketika sampai di tempat kejadian mangsa dan seorang rakannya yang berusia 25 tahun mengelak serpihan batu di tengah jalan.
"Bagaimanapun motosikalnya bergesel dengan motosikal rakannya lalu terbabas ke kiri jalan dan terlanggar besi penghadang jalan yang mengakibatkan kakinya putus," katanya.
Menurut Mohd Adli, susulan itu, mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu oleh rakan-rakannya sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
"Rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!