Cara kreatif sambut merdeka!
ALOR GAJAH - Orang ramai yang melalui Jalan Melati di Felda Tun Ghafar Machap@Desa Lestari Bukit Bulat, dekat sini pasti terlihat sebuah rumah yang dihiasi Jalur Gemilang dengan pelbagai saiz.
Pemilik rumah berkenaan, Muhammad Muzzamman Othman, 31, berkata, setiap kali menjelang sambutan Hari Kemerdekaan dirinya pasti teruja melakukan sesuatu yang kreatif bukan sekadar mengibarkan bendera malah turut menggunakan bahan terbuang seperti botol plastik dan tin untuk menceriakan laman rumah.
Menurutnya, pada sambutan kali ini dia lebih banyak memberi fokus kepada hiasan pintu gerbang yang dinamakan ‘Gapura Merdeka’ dengan menggunakan 499 botol plastik untuk menghasilkan bentuk bunga raya.
Malah katanya, pelbagai saiz botol plastik yang dicat dengan empat warna Jalur Gemilang disusun atur sekeliling kawasan rumah bagi menambahkan kehangatan sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini.
“Walaupun tahun ini saya tidak menyertai sebarang pertandingan keceriaan merdeka, namun ia bukan halangan untuk saya menterjemahkan semangat cintakan negara melalui hiasan Jalur Gemilang di sekitar rumah.
“Ini juga salah satu usaha saya untuk menanam semangat patriotik bukan sahaja dalam kalangan penduduk kampung, malah orang luar yang datang ke sini,” katanya yang bekerja sebagai pembantu pejabat Felda.
Mengulas lanjut, Muzzamman yang merupakan anak sulung daripada empat beradik berkata, dia turut memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu dengan mengumpul botol plastik selain kerja-kerja memotong dan mengecat botol.
Menurutnya, sejak lima tahun lalu dia tidak melepaskan peluang menghiasi rumah dengan lebih dua ratus Jalur Gemilang setiap kali menjelang 31 Ogos biarpun terpaksa mengeluarkan modal sendiri terutama untuk menggantikan bendera yang telah lusuh.
Katanya, selain itu dia juga tidak ketinggalan memberi tumpuan tatarias langsir yang dijahit ibunya dengan memaparkan Jalur Gemilang di setiap tingkap rumah.
“Inilah yang dapat saya lakukan untuk menunjukkan rasa sayangkan negara.
“Walaupun mengeluarkan modal dan kos sendiri namun saya bangga dapat menghiaskan rumah dengan idea saya sendiri.“Saya harap orang ramai juga dapat bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan pada kali ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.
Jelasnya, apa yang dilakukan bukanlah untuk menyertai pertandingan semata-mata namun demi menterjemahkan semangat membaranya bagi menyambut Hari Kemerdekaan yang setiap tahun dilakukan dengan pelbagai kelainan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!