Penghantar makanan dibelasah pelanggan baran
BUKIT MERTAJAM- Seorang penghantar makanan cedera selepas dibelasah pelanggannya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah inap desa di Lorong Seri Impian 8, Alma di sini pagi semalam.
Kejadian yang berlaku jam 11.05 pagi itu dikatakan berpunca rasa tidak puas hati pelanggan itu terhadap penghantar makanan berusia 34 selepas dia dikatakan lewat menghantar pesanannya.
Difahamkan, kelewatan itu berlaku disebabkan terdapat kekeliruan pada alamat yang diberikan di dalam aplikasi WhatsApp sebelum lelaki itu berjaya menemui rumah yang didiami pelanggannya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, suspek yang menyedari kehadiran penghantar makanan itu di hadapan rumah bertindak keluar dan memarahinya dengan melemparkan kata-kata kesat dipercayai berunsurkan perkauman.
Menurutnya, selepas mengambil piza yang dipesan suspek kemudiannya memberikan bayaran RM50 namun ketika penghantar makanan sedang mengira baki suspek sekali bertindak agresif dengan memaki hamun lelaki berkenaan sebelum merampas semula wang tunai yang diberikan tadi.
"Suspek kemudiannya menyerahkan kembali piza yang ditempah tadi kerana sudah tidak mahu membelinya.
"Bagaimanapun mangsa memaklumkan kepada suspek bahawa dia akan melaporkan pembatalan makanan terbabit kepada pihak syarikatnya lalu suspek mengambil semula pesanannya dan melemparkan wang di atas lantai," katanya.
Shafee berkata, suspek mengarahkan mangsa mengutip semula wang baki yang dilemparkan namun lelaki itu tidak mempedulikannya sebelum mangsa diserang suspek.
Katanya, lelaki itu bertindak menendang badan dan menumbuk bahagian muka mangsa hingga mengalami kecederaan namun tidak serius.
Tidak cukup dengan itu, lelaki berkenaan membuang barangan di dalam raga motosikal mangsa yang mengandungi telefon bimbit dan power bank selain mahu menjatuhkan motosikalnya.
"Berang dengan perbuatan melampau suspek dia kemudiannya mengambil tindakan dengan memukul suspek menggunakan topi keledar yang dipakai dan suspek terus melawan dan berlaku pergelutan antara mereka sebelum berjaya dileraikan pemilik rumah inap desa berkenaan.
Shafee berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kedua-dua lelaki berkenaan ditahan untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 kerana mendatangkan kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!