Sah Bersatu Blackout umum parti baharu petang ini

Dr Mahathir, Mukhriz
Dr Mahathir, Mukhriz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Blackout mengesahkan spekulasi bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal mengumumkan penubuhan parti baharu petang ini.

Sumber terdekat dengan Dr Mahathir berkata, sidang media khas itu akan diadakan di Yayasan Al Bukhary, di sini terlebih dahulu sebelum disusuli dengan satu lagi sidang media yang akan diadakan di sebuah hotel di Bangsar pada jam 4 petang ini.

"Ya, program itu (sidang media) dijangka jam 4 petang. Jemputan media akan dimaklumkan nanti," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN Dr Mahathir dijangka tubuh parti baharu petang ini

Sementara itu, seorang lagi pemimpin yang rapat dengan Dr Mahathir turut mengesahkan majlis sidang media khas itu bakal dijadikan pentas bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh berkenaan untuk membuat pengumuman penubuhan parti baharu.

Menurut beliau, majlis itu pada asalnya dirancang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, namun ditukar pada saat akhir.

"Pengumuman (penubuhan parti itu) akan dilakukan sendiri oleh Dr Mahathir," katanya.

Mengenai spekulasi cadangan penggunaan nama Parti Bersatu Rakyat Malaysia untuk parti baharu yang akan ditubuhkan Dr Mahathir kelak, sumber berkenaan bagaimanapun menolak spekulasi berkenaan.

Menurutnya, beberapa cadangan nama telah dikemukakan pihaknya dan pemimpin Bersatu Blackout lain kepada Dr Mahathir, namun keputusan akhir terserah kepada tokoh pemimpin berusia 96 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin juga ada pemimpin lain yang mencadangkan nama berkenaan (Parti Bersatu Rakyat Malaysia) kepada Dr Mahathir, apa pun biarlah beliau sendiri yang pilih," katanya.

Keputusan drastik itu diambil selepas beberapa jam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengetepikan saman Dr Mahathir dan empat lagi ahli Parlimen yang mencabar pemecatan mereka daripada Bersatu.

Pada 9 Jun lalu, Dr Mahathir dan enam yang lain mengemukakan saman ke atas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga pemimpin Bersatu lain dan Pertubuhan Pendaftar (ROS) bagi mencabar keputusan pemecatan mereka daripada jawatan masing-masing dalam Bersatu.

Lima yang lain adalah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang jawatan terakhir selaku Timbalan Presiden Bersatu;

Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!