Muhyiddin calon PM Perikatan Nasional: Hadi

 Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG- Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan, pemimpin parti dalam Perikatan Nasional (PN) telah bersetuju untuk meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurutnya, kesepakatan itu bukan sahaja dalam kalangan pemimpin PN tetapi termasuk pimpinan Muafakat Nasional (MN) sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini.

Selain itu katanya, mereka turut bersetuju tidak akan ada pertandingan tiga penjuru, sebaliknya hanya dua penjuru bagi menentang pembangkang.

“Kita sudah putuskan, bukan (antara) tiga pemimpin (BN, Pas, Bersatu) tapi semua pemimpin parti-parti dalam Perikatan Nasional termasuk Muafakat Nasional. Dua perkara sahaja iaitu kita bersetuju pertandingan dua penjuru dalam PRU15 akan datang.

“Yang kedua, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri kita.

“Dua penjuru kita hanya lawan pembangkang, kita usaha begitu. Insya-ALLAH, kita yakin akan dapat sekurang-kurangnya majoriti mudah. Berapa kerusi, kita tidak boleh (nak umumkan) lagi,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah secara online di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, pengagihan kerusi antara PN belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan secara berperingkat.

Ditanya mengenai kesepakatan antara PN memandangkan hubungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilihat tidak begitu baik, Hadi menjelaskan, ia hanya melibatkan peringkat bawahan sebaliknya sebarang keputusan diputuskan di peringkat tertinggi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai desas-desus Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijangka menubuhkan sebuah parti baharu dinamakan Parti Bersatu Rakyat Malaysia, Ahli Parlimen Marang itu berkata, ia terpulang kepada Dr Mahathir sendiri.

“Itu terpulang kepada dia. Kita negara demokrasi, dia boleh tubuh. Kita tidak boleh halang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!