Himpunan sokong Najib: 9 individu selesai beri keterangan

Abdul Hamid (tengah) bergambar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Mess Kanan, Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
Abdul Hamid (tengah) bergambar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Mess Kanan, Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai merakam keterangan sembilan individu berhubung kes perhimpunan penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini pada 28 Julai lepas.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut mereka yang telah selesai beri keterangan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan kes itu telah lengkap dan kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Beliau berkata, kertas siasatan berkenaan dihantar bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut mengenainya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai perhimpunan haram dan Peraturan-peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.7) 2020,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, hari ini.

Pada 28 Julai lepas, ramai penyokong Najib yang berhimpun di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti perkembangan keputusan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang melibatkan Najib, dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan tidak mematuhi amalan penjarakan fizikal.

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap risiko penularan koronavirus (Covid-19).

Sementara itu menjawab soalan mengenai perkembangan siasatan kes kematian Teoh Beng Hock, Abdul Hamid berkata, pihaknya telah mengambil beberapa tindakan bagi melengkapkan siasatan, termasuk mendapatkan dokumen penting daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pihak saya telah menerima dokumen berkenaan pada Isnin lepas, pegawai penyiasat saya telah menerima lapan daripada 17 dokumen yang dimohon bagi melengkapkan siasatan kes ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009, selepas ditahan SPRM, dan mayatnya ditemui di tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam.

Mendiang adalah setiausaha politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!