Mahkamah tangguh keputusan permohonan Najib batal pertuduhan

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan tarikh bagi menyampaikan keputusan berhubung permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak membatalkan pertuduhan membuat pindaan pada laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya, kepada minggu depan.

Bekas perdana menteri itu berhadapan dengan pertuduhan berkenaan bersama dengan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas memberitahu pemberita bahawa Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan untuk menangguhkan penghakimannya kepada minggu depan semasa perbicaraan.

Sebelum ini tarikh perbicaraan ditetapkan untuk bersambung dari hari Isnin (10 Ogos) sehingga Khamis (13 Ogos).

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam semasa ditemui pemberita di luar mahkamah, mengesahkan perkara itu.

Najib, 67, memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membuat pindaan kepada laporan audit 1MDB, atas alasan pertuduhan itu tidak berasas dan bersifat menindas.

Pada 23 Julai lepas Hakim Mohamed Zaini menetapkan hari ini sebagai tarikh untuk menyampaikan keputusannya, selepas mendengar hujah-hujah daripada peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang merupakan peguam utama pendakwaan.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara sebelum laporan itu ‘sekali lagi dimuktamad’ dan dibentang di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Najib dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB, pada masa dan tempat yang sama, selaras dengan Seksyen 28 (1) ( c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama dengan Seksyen 23 (1) & 24 (1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika disabit kesalahan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!