Pengunjung Teluk Cempedak dihadkan

Jumlah pengunjung di pantai peranginan popular Teluk Cempedak di sini, dihadkan kepada 1,000 orang pada satu-satu masa ketika hujung minggu, bagi memastikan pematuhan terhadap penjarakkan fizikal, berkuat kuasa hari ini. - Foto Libur
Jumlah pengunjung di pantai peranginan popular Teluk Cempedak di sini, dihadkan kepada 1,000 orang pada satu-satu masa ketika hujung minggu, bagi memastikan pematuhan terhadap penjarakkan fizikal, berkuat kuasa hari ini. - Foto Libur
A
A
A

KUANTAN - Jumlah pengunjung di pantai peranginan popular Teluk Cempedak di sini, dihadkan kepada 1,000 orang pada satu-satu masa ketika hujung minggu, bagi memastikan pematuhan terhadap penjarakkan fizikal, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baharu itu bermula dari jam 10 pagi hingga jam 10 malam pada Jumaat hingga Ahad, dengan pengunjung diwajibkan mengambil kad pengunjung di tiga laluan masuk.

"Tiada had masa ditetapkan kepada setiap pengunjung, namun jika jumlah pengunjung sudah mencapai had ditetapkan, kita akan melencongkan kenderaan yang ingin masuk Teluk Cempedak ke tempat lain melainkan bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan pandu lalu restoran segera di situ.

"Pekerja, penjaja dan pekedai di Teluk Cempedak tidak perlu mengambil kad pengunjung, namun diwajibkan menunjukkan kad pekerja atau pengesahan kepada petugas yang berada di laluan masuk," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata tiga laluan masuk yang dibenarkan ke Teluk Cempedak ialah melalui kawasan letak kenderaan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), kawasan letak kenderaan pihak swasta dan laluan antara dua restoran segera McDonalds dan KFC di situ.

Pengunjung diwajibkan mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual, menjalani pemeriksaan suhu, memakai pelitup muka serta wajib menjaga penjarakan fizikal semasa berada di sekitar pantai itu.

Bagi memastikan pelaksanaan SOP berjalan lancar, Mohamad Noor berkata polis bersama MPK, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan ditempatkan di laluan masuk dan sekitar Teluk Cempedak.

"Kita berharap pengunjung dapat memberikan kerjasama kepada SOP ini dan dapat bersabar jika mereka perlu beratur lama bagi mengambil giliran masuk. Tindakan ini perlu diambil bagi memastikan kita dapat menjaga penjarakan fizikal bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Noor berkata, tindakan itu dibuat susulan pemeriksaan polis di pantai itu Sabtu lepas mendapati jumlah pengunjung mencecah sehingga 2,000 orang yang mengakibatkan pantai sesak, mendorong pihaknya mencadangkan pelaksanaan SOP baharu kepada MPK serta kerajaan negeri Pahang, yang kemudiannya dipersetujui semua pihak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!