Bank Islam hubungi 380,000 pelanggan individu, PKS untuk lanjutan moratorium
BANK Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) telah menghubungi seramai 380,000 pelanggan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara berperingkat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) untuk tawaran tempoh lanjutan moratorium bersasar sejak minggu lepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, setakat ini, kurang daripada 10 peratus yang telah menghubungi bank semula untuk memohon tempoh lanjutan moratorium tersebut yang akan bermula Oktober ini.
“Setakat ini, ramai yang belum memberi maklum balas lagi kerana mungkin mereka masih memikirkan tentang lanjutan moratorium ini.
“Justeru, kami menggalakkan pelanggan untuk mengunjungi laman web dan media sosial kami untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan lanjutan moratorium bagi golongan sasar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Sadaqa House, di sini hari ini.
Pada 29 Julai lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak daripada pandemik koronavirus (Covid-19) manakala yang selebihnya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersasar.
Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.
Mohd Muazzam berkata, sebanyak 95 peratus daripada pelanggannya telah memilih untuk mendapat kemudahan moratorium yang bermula dari April 2020 hingga September 2020 manakala baki lima peratus membuat pembayaran seperti biasa.
Katanya, pelanggan boleh mengunjungi cawangan bank di seluruh negara bermula hari ini untuk membincangkan mengenai penyelesaian paling sesuai mengikut keadaan kewangan mereka dan menikmati kemudahan tersebut.
Terdahulu, Bank Islam telah memberi sumbangan berjumlah RM240,000 menerusi platform pendanaan awam Sadaqa House Bank Islam kepada Mercy Mission Malaysia, Buku Jalanan Chow Kit (BJCK) dan pelajar kolej swasta Muhammad Fayyadh Haziq.
Mohd Muazzam berkata, sumbangan RM24,000 disalurkan kepada Mercy Mission untuk menjayakan program ‘Feeding to Educate’ yang bertujuan menyediakan bantuan makanan bernutrisi lengkap kepada 40 pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan selama setahun.
Selain itu, katanya Bank Islam membantu BJCK yang giat membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur dengan fokus untuk memberi pendidikan berkualiti.
BJCK menerima sebuah van serbaguna untuk membantu menyediakan akses pendidikan kepada 80 warganya untuk menjalani aktiviti harian.
Katanya, setakat ini, sebanyak RM1.2 juta daripada RM4 juta telah dibelanjakan oleh Sadaqa House sejak penubuhannya pada 2018. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!