Memartabat bahasa kebangsaan di mahkamah
PADA umumnya tahap pemakaian bahasa kebangsaan di mahkamah masih boleh dipertingkatkan lagi. Ini adalah kerana apa yang berlaku sekarang bahasa kebangsaan memang dijadikan bahasa utama di mahkamah-mahkamah rendah (Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen).
Namun di mahkamah-mahkamah atasan seperti Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, penggunaan bahasa Melayu masih lagi asing. Keadaan ini sebenarnya agak janggal apatah lagi setelah mengambil kira bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ia bertambah janggal apabila mengetahui bahawa para hakim dan peguam disyaratkan mendapat sekurang-kurangnya kepujian dalam Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sebelum boleh diterima masuk sebagai peguam ataupun menyertai sektor perundangan dan kehakiman.
Lebih-lebih lagi ialah negara telah pun merdeka lebih 51 tahun yang lalu. Di manakah letaknya nilai dan martabat bahasa kKebangsaan di mahkamah? Tambahan pula sejak 41 tahun yang lepas naskhah sahih undang-undang telah ditulis dalam bahasa Melayu. Naskhah bahasa Inggeris tidak lagi dijadikan naskhah sahih sejak dari tahun tersebut melainkan beberapa undang-undang tertentu.
Seharusnya para peguam dan hakim merujuk kepada naskhah sahih versi bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah, bukan terjemahannya dalam bahasa Inggeris.
Kenapakah perkara sebegini masih berlaku? Seolah-olah terdapat penolakan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah. Tidak lain tidak bukan ia disebabkan oleh sikap para hakim dan peguam itu sendiri.
Sebahagian peguam dan hakim tidak dapat menerima hakikat kedudukan bahasa Melayu di sisi Perlembagaan Persekutuan. Ini jelas dilihat apabila prosiding mahkamah masih berterusan menggunakan bahasa Inggeris.
Ramai yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai perkataan yang tepat bagi mentafsirkan sesuatu. Oleh yang demikian ia tidak sesuai dijadikan bahasa pengantara di mahkamah.
Hujahan ini tidak dapat diterima kerana jika kita tidak memberi ruang dan peluang kepada bahasa Melayu, bagaimanakah laras bahasa Melayu itu akan berkembang? Bahasa Inggeris telah jauh ke hadapan kerana penggunaannya yang meluas. Jika bahasa Melayu tidak digunakan dengan meluas bagaimana mampu berkembang.
Sebagai seorang warganegara Malaysia sudah pasti tanggungjawab kita memartabatkan bahasa kebangsaan. Pihak kerajaan pernah menukar nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia dengan harapan masyarakat bukan Melayu akan lebih terbuka hati mereka menggunakan bahasa tersebut tetapi tindakan itu ibarat mencurah air ke daun keladi sahaja.
Malah dalam kalangan peguam dan hakim Melayu juga ada yang meminggirkan bahasa ibunda mereka sendiri dan mengagungkan bahasa asing atas pelbagai alasan.
Realitinya buat masa ini di mahkamah-mahkamah atasan, apabila sesuatu prosiding dilakukan dalam bahasa Melayu, seolah-olah peguam tersebut adalah peguam kelas kedua dan tidak dapat mengendalikan perbicaraan dengan baik. Persepsi inilah yang harus dikikis daripada kalangan peguam dan hakim.
Memang tidak dinafikan bahawa ada juga hakim-hakim di mahkamah atasan yang bertegas mengarahkan perbicaraan dijalankan dalam bahasa Melayu. Pujian harus dirakamkan buat hakim-hakim tersebut kerana usaha mereka yang ingin memartabatkan bahasa Melayu.
Ada juga yang mengatakan oleh kerana mereka belajar undang-undang dalam bahasa Inggeris agak sukar bagi mereka mengendalikan kes dalam bahasa Melayu. Perkara ini sebenarnya adalah alasan yang terlalu remeh. Kita akan dapati bahawa ada universiti tempatan yang mengajar undang-undang dalam bahasa selain bahasa Melayu.
Umpamanya di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). UIAM mengajar mahasiswa undang-undang dalam bahasa Inggeris dan Arab. Namun kita dapati graduan UIAM boleh mengendalikan perbicaraan di mahkamah dalam bahasa Melayu dengan baik. Universiti lain seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara sudah pasti tidak menghadapi masalah.
Ada juga yang mengandaikan sekiranya mereka menggunakan bahasa Melayu dalam perbicaraan, akan memprejudiskan hak anak guam mereka dari mencapai keadilan. Sebenarnya ini adalah manifestasi dan pengakuan mereka sendiri yang enggan menggunakan bahasa Melayu.
Dapatlah disimpulkan bahawa penggunaan bahasa Melayu di mahkamah dihalang oleh sikap para hakim dan peguam itu sendiri. Maka, sudah sampai masanya bagi bahasa Melayu digunakan sepenuhnya di mahkamah tanpa mengira hirarki mahkamah itu sendiri.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!