'MU pasukan paling layak jadi juara Liga Europa'
MANCHESTER United dilihat sebagai pasukan paling layak untuk memenangi saingan Liga Europa musim ini selepas menampilkan persembahan cemerlang termasuk berjaya menang dengan agregat besar 7-1 ke atas kelab dari Austria, LASK dalam aksi 16 pasukan terbaik semalam.
Bekas pemain United, Paul Scholes menyifatkan United berada pada landasan terbaik untuk mara lebih jauh dan melakar kejuaraan di pentas Eropah itu apatah lagi akan berdepan pasukan bukan pilihan, Copenhagen di pusingan suku akhir pada Selasa ini.
"Saya tahu semua akan kata banyak pasukan hebat berada dalam saingan suku akhir ini. Tetapi, bagi saya United adalah pasukan terbaik ketika ini.
"Mereka tampil cemerlang dan menunjukkan bahawa United bukan calang-calang dan pasukan pilihan untuk menjuarai saingan Liga Europa musim ini," katanya.
Bagaimanapun, Scholes memberi amaran United akan berdepan tentangan daripada gergasi Itali, Inter Milan yang turut sama layak ke saingan suku akhir selepas membenam Getafe 2-0 semalam.
"Pasukan dari Itali sentiasa menjadi lawan yang sukar untuk dihadapi. Ancaman terbesar untuk Manchester United memenangi Europa League bagi saya adalah Inter Milan.
"Namun, saya lihat United mempunyai sedikit kelebihan untuk mengatasi Inter. Saya fikir, jika United sedang berada pada prestasi terbaik, keadaan mental dan fizikal yang cergas, maka kualiti mereka akan lebih baik dan mampu menewaskan Inter.
"Saya yakin kedua-dua pasukan itu nanti akan bertemu di final dan ia akan menjadi perlawanan yang sangat menarik dan pertembungan dua gergasi yang sangat dinantikan," katanya.
Sekiranya perlawanan akhir antara United dan Inter terealisasi, The Red Devils akan berhadapan dengan beberapa bekas pemainnya iaitu Romelu Lukaku, Ashley Young dan Alexis Sanchez.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!