Anggota PGA maut dipercayai tertembak diri sendiri

Seorang anggota PGA maut dipercayai tertembak diri sendiri di bilik rehat Markas Latihan Luar Tupah, Pusat Latihan PGA di Bedong hari ini.
Seorang anggota PGA maut dipercayai tertembak diri sendiri di bilik rehat Markas Latihan Luar Tupah, Pusat Latihan PGA di Bedong hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut dipercayai tertembak diri sendiri dalam kejadian di bilik rehat Markas Latihan Luar Tupah, Pusat Latihan PGA (PLPGA) di Bedong di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian jam 5.10 pagi itu, mangsa yang berusia 31 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurutnya, sebelum kejadian, kira-kira jam 4.30 pagi mangsa telah hadir ke bilik pengawal dan mengarahkan dua anggota PGA yang bertugas membawa kelengkapan serta senjata ke bilik rehat untuk diperiksa.

"Selepas dua anggota terbabit sampai di hadapan bilik rehat, mangsa memberitahu mereka bahawa dia berasa terlalu sejuk dan ingin berehat.

"Kedua-dua anggota berkenaan kemudiannya beredar ke pos pengawal sebelum terdengar bunyi tembakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, dua anggota PGA itu kemudiannya bergegas semula ke bilik rehat tersebut dan mendapati kepala mangsa berlumuran darah.

"Dua anggota itu telah memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak penyelia sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Adzli berkata, siasatan awal mendapati mangsa mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2008 dan telah melapor diri ke Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) pada April 2009.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yang masih bujang itu juga tidak mempunyai sebarang masalah disiplin atau kewangan.

"Pasukan forensik yang hadir ke tempat kejadian mendapati terdapat satu kesan tembakan di bahagian kepala antara kening kiri dan kanan mangsa.

"Proses bedah siasat dijalankan hari ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!