Tuntut gesa SPRM siasat isu Yayasan Selangor
SHAH ALAM - Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu penjualan aset oleh Yayasan Selangor yang didakwa meragukan.
Ketua Setiausahanya, Zuhelmi Mansor berkata, jawapan balas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini berhubung penjualan aset-aset tersebut dilihat tidak meyakinkan dan menimbulkan banyak persoalan.
Zulhemi berkata, SPRM perlu menyiasat alasan Yayasan Selangor tidak menggunakan kaedah tender dan berdasarkan kepada pembida tertinggi dalam penjualan aset-aset terlibat.
"Sebelum ini, kerajaan Selangor berkata penjualan aset itu adalah mengikut tawaran terbuka di mana siapa cepat dapat dan ini adalah meragukan.
"Adakah kerajaan negeri tidak mempunyai perolehan dan tatacara penjualan yang telus?" soalnya.
Zulhemi berkata demikian sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Selangor berhubung isu berkenaan.
Sebelum ini, Amirudin pernah menjelaskan sebahagian aset Yayasan Selangor perlu dijual berikutan kedudukan kewangannya dilihat tidak sihat dan memerlukan suntikan dana walaupun beberapa usaha dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini.
Menurut beliau, langkah penstrukturan semula turut dilaksanakan kerajaan negeri bagi menyelesaikan bebanan hutang penyewaan dan pengajian ditanggung Yayasan Selangor berjumlah RM34 juta sejak tahun 1990.
Mengulas lanjut, Zulhelmi mendakwa, data yang dijelaskan oleh Amirudin sewaktu Sidang DUN sebelum ini juga hanya direka untuk menjustifikasikan tindakan Yayasan Selangor menjual aset-aset berkenaan.
"Amat mustahil Yayasan Selangor yang begitu gemilang hanya berpendapatan RM123,000 dengan 77 aset yang begitu bernilai," katanya.
Katanya, siasatan berhubung perkara itu perlu dilaksanakan berikutan Yayasan Selangor merupakan sebuah organisasi milik kerajaan negeri yang membiayai anak-anak negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!