Istiqamah sucikan jiwa
TIDAK lama lagi kita akan menyambut bulan Muharam 1442 Hijrah. Rasanya baru sekejap kita tempuhi tahun 1441 Hijrah. Tambahan pula dengan pelbagai peristiwa yang berkaitan dengan Covid-19 menyebabkan masa dirasakan berlalu begitu cepat sekali.
Apa yang nyata, cepatnya masa berlalu menandakan kita semakin dekat dengan garisan pemisah antara alam dunia dan akhirat. Pun begitu, tidak ramai yang berusaha untuk sampai ke garisan penamat. Hakikatnya, ramai yang insaf dan bertaubat untuk seketika sahaja apabila ditimpa ujian dan bencana. Apabila kembali pulih, jiwa kembali seperti keadaan asal iaitu jiwa yang kasih dan takut untuk tinggalkan dunia.
Sebetulnya jika diimbau kembali kehidupan kita sejak awal Muharam lalu, telah banyak peluang diberikan oleh ALLAH SWT kepada kita untuk menyucikan jiwa agar lebih tenang.
Apa yang jelas, bukan sahaja hidup kita akan lebih bahagia dan teratur di dunia ini, malah dijanjikan tempat yang terbaik di alam akhirat nanti. Jika diteliti, seawal bulan Muharam sudah pun ada ganjaran yang besar bagi mereka yang berpuasa.
Malah, bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan dikurniakan kepada kita sebagai bulan yang cukup berkat dan penuh dengan limpahan rahmat. Pada akhir 10 Ramadan pula dijanjikan pengampunan yang cukup luas oleh ALLAH SWT. Akhirnya ditutupi dengan bulan Zulhijjah yang menuntut kita melaksanakan ibadah korban bagi menyucikan jiwa.
Ibadah itu selaras hadis Nabi daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Aidiladha) yang lebih dicintai oleh ALLAH SWT selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda ALLAH SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban)”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi).
Apa yang jelas, semua kurniaan tersebut menunjukkan betapa kasihnya ALLAH SWT kepada kita agar merebut peluang yang terbentang luas untuk menyucikan jiwa.
Berkaitan dengan penyucian jiwa ini, saya begitu tertarik dengan kuliah oleh pendakwah bebas, Dr Omar Abdulkafi. Beliau telah berkongsi kata-kata Saidina Ali R.A iaitu: “ALLAH SWT telah menciptakan sesuatu yang sangat kuat”. Maka orang ramai pun bertanya, “Apakah dia wahai Ali?” Jawab Ali, “ALLAH SWT telah ciptakan besi. Apabila besi menjadi terkenal dengan kekuatannya, lalu besi mula berbangga. Maka ALLAH SWT telah ciptakan api untuk mencairkannya. Api pun membara mencairkan besi.
“Kemudiannya ALLAH SWT telah menciptakan air untuk memadamkannya. Setelah itu ALLAH SWT menciptakan awan untuk menyedut air dan mencipta angin untuk membawa awan. Namun ALLAH SWT telah menciptakan gunung dan bukit-bukau untuk menghalang angin, hujan dan awan.
“Kemudian ALLAH SWT menciptakan manusia yang mampu meruntuhkan gunung dan bukit-bukau. Lalu mereka berbangga dengan keunikan dan kekuatannya. Namun ALLAH SWT telah tewaskan mereka dengan tidur. Pun begitu, ALLAH SWT ciptakan kerisauan menyebabkan manusia tidak boleh tidur kerana hati yang tidak tenang. Akhirnya ALLAH SWT kurniakan zikir agar manusia sentiasa mengingati ALLAH SWT. Oleh itu, zikrullah adalah ciptaan ALLAH SWT yang paling kuat kerana boleh memadamkan kerisauan, melapangkan dada dan menjadikan kita dekat dengan ALLAH SWT.”
Adalah jelas, bersihkan jiwa bukannya terbatas kepada mereka yang jahil semata-mata, namun kita semua perlu bersihkan jiwa agar tidak sombong walaupun rajin beribadat, tidak riak walaupun banyak bersedekah dan tidak berburuk sangka walaupun penuh dengan senyuman.
* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!