KPDNHEP Selangor sita 300 tong LPG
PELABUHAN KLANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyita 300 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai lebih RM37,425 yang disyaki dijual tanpa lesen dalam serbuan di Jalan Sungai Chandong 18, Bandar Armada Putra, di sini, malam tadi.
Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Basaruddin Mohiyuddin berkata, serbuan dibuat ke atas sebuah premis dua tingkat yang dijadikan sebagai stor simpanan pada jam 11.30 malam bersama 15 anggotanya.
Beliau berkata, ketika tiba di premis, pihaknya mengetuk pintu dan memanggil pemilik tetapi tiada jawapan.
Disebabkan itu katanya, pihaknya terpaksa memecah kunci pintu untuk masuk.
"Pemeriksaan mendapati premis kosong serta tiada penghuni.
"Kita temui 300 tong LPG pelbagai saiz dan jenama di tingkat bawah dan pemeriksaan di tingkat atas pula mendapati ia dijadikan sebagai tempat tinggal pekerja, "katanya.
Beliau berkata, turut ditemui beberapa peralatan rumah serta lima dokumen milik warga Myanmar.
Katanya, sitaan dilakukan mengikut Per. 3(1) PPKB 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tindakan kes diklasifikasikan sebagai Rampasan Tanpa Tuan (RTT).
"Siasatan lanjut akan dijalankan oleh KPDNHEP Selangor dengan mengesan pemilik dan sindiket yang aktif beroperasi secara haram di sekitar Selangor.
"Kita juga akan mengesan pembekal yang membekalkan barangan kawalan kepada pihak/individu yang tidak berlesen dan jika disabitkan kesalahan denda sehingga RM 1 juta dan penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya, "katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!