Jalur Gemilang untuk gelandangan

Normah Hanum (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada gelandangan di sekitar Jalan Dato Onn Jaafar, Ipoh semalam.
Normah Hanum (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada gelandangan di sekitar Jalan Dato Onn Jaafar, Ipoh semalam.
A
A
A

IPOH - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Teduhan Kelana mengambil inisiatif menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan mengedarkan Jalur Gemilang dan makanan kepada golongan gelandangan di sekitar bandar raya Ipoh.

Pengerusi Teduhan Kelana, Datin Normah Hanum Ibrahim berkata, usaha itu dilakukan bagi menyemai semangat patriotisme kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

Menurutnya, kempen-kempen kenegaraan seperti mengibarkan Jalur Gemilang perlu diperluaskan kepada segenap lapisan masyarakat agar mereka menghargai dan menghayati semangat cintakan negara.

“Setiap golongan masyarakat perlu diberikan layanan yang baik walaupun mereka kurang bernasib baik. Mereka juga rakyat Malaysia yang mempunyai hak untuk hidup seperti orang lain.

“Usaha yang kita lakukan ini memberikan kesedaran dan menimbulkan semangat patriotisme di dalam masyarakat selain kita mahu menyemarakkan semangat cintakan negara kepada orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengedarkan pek makanan dan Jalur Gemilang di Jalan Dato Onn Jaafar di sini semalam.

Beliau berkata, Teduhan Kelana diwujudkan untuk membantu membimbing golongan gelandangan untuk menjadikan mereka mampu berdikari dan menguruskan diri.

Katanya, banyak perubahan dilihat terhadap golongan tersebut setelah diberikan pelbagai bantuan dan bimbingan terutama dari aspek kebersihan.

Normah Hanum berkata, pelbagai inisiatif yang dibuat sebelum ini juga berjaya mengubah hidup golongan gelandangan antaranya terdapat beberapa orang dalam kalangan mereka yang sudah mendapatkan pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

“Di dalam NGO kami terdapat ramai individu berpengalaman dengan pelbagai latar belakang yang memberikan komitmen untuk membantu mengubah hidup golongan ini.

“Kesemua sukarelawan ini berjaya memainkan peranan masing-masing untuk membantu masyarakat dan kita harap lebih ramai mereka yang berkemampuan untuk turut sama membantu,” katanya.

Jelas Normah Hanum, mana-mana individu dan NGO dialu-alukan untuk bersama-sama membantu golongan yang memerlukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!