Amirul Akmal pasang impian beraksi dengan Real Madrid
KEJAYAAN penyerang muda skuad Bawah 19 tahun (B-19), Luqman Hakim Shamsudin mendapat tempat beraksi bersama kelab Liga Belgium, KV Kortrijk ternyata membakar semangat barisan pemain muda negara lain untuk memasang impian beraksi bersama kelab terbaik dunia.
Pemain skuad Piala Presiden Kedah, Amirul Akmal Safarinizam juga tidak ketinggalan berharap hasratnya beraksi bersama gergasi La Liga, Real Madrid menjadi kenyataan pada masa depan.
Menurut penyerang berusia 18 tahun itu, dengan kerja keras tidak mustahil pemain muda negara mampu beraksi bersama kelab gergasi dunia lain.
“Memang cita-cita saya untuk bermain di luar negara dan kalau boleh saya nak bermain dengan Real Madrid. Keluarga juga tahu dengan hasrat saya ini dan mereka terutamanya ayah saya turut memberikan sokongan kepada saya.
“Saya berharap agar impian saya ini tercapai suatu hari nanti kerana bagi saya tidak ada perkara yang mustahil asalkan kita perlu bekerja keras untuk mendapatkannya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-19 di Kompleks Sukan PKNS, Petaling Jaya semalam.
Dalam pada itu, Amirul Akmal turut disifatkan pemain yang sesuai menggalas tugas Luqman sekiranya pemain kelahiran Kota Baharu berkenaan tidak mendapat pelepasan untuk beraksi pada Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan, Oktober depan.
“Insya-ALLAH, saya akan akan galas tempat yang ditinggalkan Luqman. Saya rasa ia adalah peluang untuk saya menarik perhatian ketua jurulatih dengan skil yang saya miliki,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!