DAP lancar kutipan dana bayar jaminan Guan Eng

Kenyataan di Facebook rasmi DAP yag dimuat naik malam tadi.
Kenyataan di Facebook rasmi DAP yag dimuat naik malam tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - DAP melancarkan kempen kutipan dana dalam tempoh seminggu untuk membayar wang jaminan yang dikenakan terhadap Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng.

"Kami melancarkan kempen mengumpul dana selama seminggu bernilai RM10 untuk membayar jaminan Lim (Guan Eng) dan membayar balik jumlah yang kami pinjam.

"Kami percaya bahawa rakyat Malaysia akan memperjuangkan kebenaran untuk memastikan keadilan berlaku," kata kenyataan di Facebook rasmi parti itu malam tadi.

Terdahulu, Guan Eng yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Hakim Azura Alwi membenarkan Guan Eng membayar jaminan RM500,000 manakala bakinya hendaklah diselesaikan selewat-lewatnya pada Isnin selain memerintahkan pasport antarabangsa dan diplomatik ahli Parlimen Bagan itu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Guan Eng turut memuat naik gambar bersama isterinya, Betty Chew dalam satu hantaran Facebook lewat malam tadi.
Guan Eng turut memuat naik gambar bersama isterinya, Betty Chew dalam satu hantaran Facebook lewat malam tadi.

Mahkamah turut mengingatkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen yang akan subjudis terhadap kes itu.

Dalam perkembangan berasingan, Guan Eng turut menceritakan pengalamannya bermalam di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sebelum didakwa di mahkamah semalam.

Artikel Berkaitan:

"Saya terpaksa tukar pakaian kepada baju oren lokap SPRM, mengharungi tidur malam beralaskan lantai papan di bilik lokap yang sempit (tanpa bantal mahupun tilam), dan tidak bernasib baik seperti Menteri Kewangan sebelum saya yang tidak perlu bermalam walau satu malam pun di lokap.

"Sama ada ini satu bentuk pilih kasih atau tidak, hanya SPRM yang boleh menjawabnya," katanya dalam satu hantaran Facebook lewat malam tadi.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki ketika dihubungi media mempertahankan tindakan SPRM menahan Guan Eng semalaman dan memberitahu dia bukan ahli politik pertama yang dikenakan tindakan sedemikian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!