Kemungkinan PRN Sabah tidak berlaku
SHAH ALAM - Terdapat kemungkinan bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah tidak berlaku, kata penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.
Beliau berkata, sekiranya Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membuat keputusan bahawa tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah boleh dibicarakan di mahkamah dan bahawa tindakan pembubaran tersebut bercanggah dengan undang-undang, PRN Sabah tidak perlu dilangsungkan.
"Dua peristiwa penting bakal berlaku di Sabah pada 17 Ogos ini. Pertamanya ialah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan membuat keputusan sama ada tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan DUN Sabah boleh dibicarakan di mahkamah atau tidak dan seterusnya membuat keputusan sama ada tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah itu adalah mengikut undang-undang atau tidak.
"Peguam Besar Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh yang mewakili Kerajaan Negeri Sabah, berhujah bahawa tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah tidak boleh dicabar di mahkamah manakala Tengku Fuad Ahmad yang mewakili Tan Sri Musa Aman dan 32 ADUN lain berhujah bahawa tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah boleh dicabar," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pada tarikh sama juga Suruhanjaya Pilihan Raya dengan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusinya, Dr Azmi Sharom akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan PRN Sabah, pada jam 9 pagi di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sabah: SPR bermesyuarat 17 Ogos
Menyuarat itu katanya, khusus berkaitan dengan penetapan hari penamaan calon dan hari pengundian.
"Tetapi jika Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membuat keputusan bahawa tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan DUN Sabah boleh dibicarakan di mahkamah dan bahawa tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah itu adalah bercanggah dengan undang-undang, maka PRN Sabah pastilah tidak perlu dilangsungkan.
"Pada hemat saya, terdapat asas-asas kuat yang memungkinkan hujah bahawa tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan DUN Sabah boleh dibicarakan di mahkamah dan hujah bahawa tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah itu adalah bercanggah dengan undang-undang diterima oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!