Pasangan cacat penglihatan selamat diijabkabul

Tuan Yusri dan Nurul Ain mula berkenalan pada tahun 2018 lalu.
Tuan Yusri dan Nurul Ain mula berkenalan pada tahun 2018 lalu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Sepasang kekasih yang cacat penglihatan tidak menjadikan masalah itu sebagai penghalang mereka untuk menoktahkan perasaan cinta menerusi ikatan perkahwinan secara sah.

Tuan Yusri Tuan Soh, 47, berkata, beliau sama sekali tidak menyangka Nurul Ain Mohd Razali, 29, sudi menjadi teman hidupnya selepas mereka berdua mula berkenalan pada tahun 2018 lalu.

"Saya bersyukur perkenalan yang dibina sejak 2018 lalu itu kekal subur dan kemudiannya dinoktahkan menerusi ikatan suci perkahwinan," katanya kepada Sinar Harian.

Mengimbau kembali detik perkenalan mereka, Tuan Yusri berkata, beliau mengenali isterinya pada hujung tahun 2018 ketika sedang mengikuti latihan di Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Buta Lembah Kinta Perak.

Katanya, perkenalan itu semakin akrab selepas mereka berdua menjadi rakan sekelas ketika mengikuti latihan di Brickfields, Kuala Lumpur tahun lepas.

"Bila sudah saling mengenali antara satu sama lain, maka timbullah perasaan cinta dam sayang antara kami.

"Kami tidak pernah menyangka hubungan yang terjalin akan berakhir di jinjang pelamin. Ini kerana kami sedar tentang kekurangan diri masing-masing," katanya.

Tuan Yusri hilang penglihatan pada tahun 2017 selepas menghidap penyakit glukoma ketika bekerja sebagai pengatur cara komputer di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Nurul Ain yang merupakan lulusan Ijazah Kaunseling Universiti Sains Malaysia (USM) pula hilang penglihatan sejak dari kecil di mana beliau hanya mampu melihat cahaya sahaja.

Menurutnya, kekurangan yang ada menyebabkan mereka tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga sepertimana orang lain.

Tuan Yusri berkata, namun ketentuan ALLAH mereka dapat merasai alam berumah tangga dan bersyukur kerana mendapat pasangan yang saling memahami serta dapat menerima kekurangan masing-masing.

Katanya, mereka akan menetap di Kuala Lumpur dan meneruskan kursus refleksologi yang sedang dipelajari sekarang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!