Tiga lokasi pelancongan CBT di Kelantan

Mohd Aidil (tiga dari kanan) dan Hafiz (dua dari kanan) melihat jualan makanan laut di Pasar Terapung tersebut.
Mohd Aidil (tiga dari kanan) dan Hafiz (dua dari kanan) melihat jualan makanan laut di Pasar Terapung tersebut.
A
A
A

KOTA BHARU - Bagi merancakkan kembali industri pelancongan pasca koronavirus (Covid-19), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Kelantan mensasarkan tiga lokasi untuk dijadikan kawasan Pelancongan Mapan Berasaskan Komuniti (CBT) di sini.

Pengarahnya, Mohd Aidil Afizie Daud berkata, tiga lokasi tersebut ialah kawasan pelancongan Kota Pengkalan Datu, Homestay Kampung Jelawang, Jeli dan Homestay Renok Baru, Gua Musang.

"Untuk tahun ini kita sedang bantu perkasakan kawasan Kota Pengkalan Datu yang mana terletaknya Cerana Villa Resort. Kawasan ini mempunyai rangkaian komuniti pelancongan yang baik dan kita yakin ia boleh dikelaskan dalam CBT untuk tahun ini.

"CBT berlainan dengan konsep pelancongan biasa sebab melalui segmen ini, kita sebagai komuniti menjual produk dan perkhidmatan kita kepada pelancong luar bukan dalam negeri sendiri.

"Maka penggiat industri perlu memainkan peranan masing-masing untuk mewujudkan apa sahaja produk dan juga tarikan pelancong luar untuk datang ke tempat kita," katanya kepada media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir pada majlis pembukaan semula Pasar Terapung dan Pasar Tani Pelancongan di Pengkalan Datu dengan konsep normal baharu hari ini.

Mohd Aidil (tiga dari kanan) sempat berbual dengan pelancong yang datang pada pembukaan semula Pasar Terapung dan Pasar Tani Pengkalan Datu di sini hari ini.
Mohd Aidil (tiga dari kanan) sempat berbual dengan pelancong yang datang pada pembukaan semula Pasar Terapung dan Pasar Tani Pengkalan Datu di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin dan Pengerusi Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (Waspada), Mohd Asri Husin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Mohd Aidil berkata, sejak dimulakan pada tahun 2018, Min House Camp adalah satu-satunya kawasan tarikan pelancong yang mendapat pengiktirafan CBT di peringkat ASEAN.

Malah katanya, untuk dikelaskan dalam segmen CBT, setiap kawasan pelancongan itu sekurang-kurangnya mempunyai rekod kedatangan pelancong dari luar terutamanya pelancong luar negara.

"Banyak lagi kawasan-kawasan tumpuan pelancong di negeri ini boleh disasarkan di bawah segmen CBT namun ia terpulang kepada sejauh mana keterbukaan minda komuniti setempat itu sendiri untuk menyediakan produk dan lokasi yang bersesuaian.

"Kita di peringkat kerajaan memang akan beri sokongan sepenuhnya terutamanya untuk mempromosikan lagi kawasan-kawasan sasaran ini supaya pelancong dari luar mendapat input yang terbaik," katanya.

Katanya, pihaknya juga bersedia untuk menyediakan segala keperluan yang seharusnya ada untuk pengelasan di bawah segmen CBT tersebut.

"Insya-ALLAH, kami di peringkat kawasan ini memang bersedia dan segala tunjuk ajar diberikan kerajaan akan diaplikasikan sebaik mungkin terutamanya dalam konsep normal baharu di pasca Covid-19 ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!