Buku bantu masyarakat fahami kawalan kendiri normal baharu

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang buku 'Pembudayaan Norma Baharu Komuniti' terbitan Kementerian Kesihatan yang dilancarkan beliau pada Kempen Pembudayaan Normal Baharu di Kompleks Sukan Pagoh, Muar hari ini. -Foto Bernama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang buku 'Pembudayaan Norma Baharu Komuniti' terbitan Kementerian Kesihatan yang dilancarkan beliau pada Kempen Pembudayaan Normal Baharu di Kompleks Sukan Pagoh, Muar hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Buku Pembudayaan Normal Baharu Dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan Covid-19 yang dilancarkan hari ini diharapkan dapat membantu masyarakat memahami erti kawalan kendiri dalam memerangi pandemik itu, kata pemimpin masyarakat.

Penghulu Kanan Daerah Muar, Ariffpudin Abdul Latif berkata, dengan adanya bahan rujukan berkenaan, ia akan memudahkan masyarakat dalam menyertai kerajaan, untuk terus menangani wabak Covid-19 ini.

Dia mengharapkan agar buku berkenaan dapat diedarkan secepat yang mungkin sekali gus membolehkan masyarakat mengetahui dengan lebih jelas peranan mereka untuk memerangi wabak berkenaan.

“Saya lihat buku ini agak mudah difahami dan dengan gambar yang dipaparkan turut mampu menarik terutamanya golongan kanak-kanak untuk membacanya,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran kempen dan buku berkenaan di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.

Sementara itu, Penghulu Pejabat Daerah Muar, Norhisham Mohamad berkata, dengan adanya buku berkenaan, ia akan membantu mengingatkan kepada orang ramai untuk mengamalkan beberapa kaedah yang perlu dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

“Jika sebelum ini ketika awal-awal penularan Covid-19, kita sering diingatkan kepentingan memakai pelitup muka dan kepentingan menjaga jarak, namun setelah kes wabak berkurangan, ada sesetengahnya telah lupa dan buku ini boleh membantu memberikan peringatan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Nur Aishah Zainal Abidin berkata, bahan bacaan dan rujukan itu penting ketika ini kerana ada sesetengahnya sudah mula alpa walaupun kes Covid-19 masih belum tamat.

“Saya harap buku ini mampu memberikan kesedaran kepada umum agar peranan masing-masing untuk mengelakkan wabak ini dari terus menular. Walaupun kes sudah berkurangan, tetapi ia masih mampu merebak semula sekiranya seluruh masyarakat leka,” kata penulis berusia 32 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Buku tersebut yang memuatkan konsep pembudayaan normal baharu dan strategi kerajaan ketika PKPP dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Buku 26 muka surat itu yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan itu turut memaparkan tindakan yang perlu diambil baik dari sudut orang perseorangan, keluarga dan komuniti, sepanjang tempoh pelaksanaan PKPP. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!