Telaga Low Tiey tak pernah kering
KUALA TERENGGANU - Kawasan Kampung Cina yang terletak di tengah bandar raya Kuala Terengganu pernah menjadi kawasan perdagangan dan perniagaan antarabangsa terpenting suatu ketika dahulu.
Mempunyai sejarah yang panjang, ia menjadi persinggahan daripada pelbagai pedagang termasuk dalam kalangan orang Inggeris, China dan Thailand.
Maka, tidak hairanlah Kampung Cina masih lagi mempunyai pelbagai kesan warisan sejarah.
Salah satu daripadanya adalah perigi tua yang dianggarkan sudah berusia 300 tahun dan dipercayai antara perigi tertua di Terengganu.
Menariknya, perigi ini bukan sahaja sudah berusia dan banyak berjasa kepada penduduk setempat dan pedagang asing, ia juga dikatakan tidak pernah kering sehingga kini.
Seorang penduduk tempatan, Chee Beng Chong, 84, berkata, perigi tua itu memberikan nilai sentimental yang tinggi kepada mereka, kerana itu ia masih dipelihara dan dijaga sehingga kini untuk tatapan generasi akan datang.
Dia yang sudah menetap lebih 60 tahun di Kampung Cina berkata, telaga itu sebenarnya milik keluarga keturunan Lim, yang telah berhijrah ke Kuala Terengganu untuk bercucuk tanam kira-kira 300 tahun dahulu.
Bekalan air bersih
Difahamkan, menjelang akhir Dinasti Ming dan awal Dinasti Ching (Qing), iaitu pertengahan kurun ke-17, penduduk-penduduk dari Provinsi Fujian, China telah menjelajah daerah Nusantara di sekitar Laut China Selatan dengan menaiki perahu.
Ada antara mereka yang telah bermastautin di tempat di mana perahu mereka berlabuh.
"Keluarga Lim yang mengambil keputusan untuk menetap di sini, kemudiannya menggali sebuah telaga di Kampung Tiong yang terletak bersebelahan Kampung Cina untuk mendapatkan bekalan air bersih dan bagi kegunaan harian mereka.
"Sebelum dibina, penduduk di Kampung Cina dan Kampung Tiong menggunakan air sungai untuk kegunaan harian," katanya.
Reka bentuk telaga itu mencerminkan cara hidup dan budaya masyarakat konservatif pada waktu tersebut.
Bentuk telaga yang bujur dibina dengan batu bata tanah liat.
Ia mengandungi dua ruang mandi yang berasingan untuk lelaki dan wanita dan dinding rendah bersaiz 6x6 meter dan dibina di sekeliling telaga sebagai sempadan.
Air dari telaga itu sangat jernih, segar dan manis dan dikatakan sentiasa mengalir tanpa berhenti-henti.
Peristiwa kemarau panjang dan penyakit
Pada tahun ‘Kwong Shih’ pada zaman Dinasti Ching (1875), telah berlaku kemarau yang panjang di daerah Kuala Terengganu dan menyebabkan penyakit berleluasa dan kebanyakan telaga di bandar ini kekeringan air.
Telaga yang masih mempunyai bekalan air yang rendah tidak sesuai untuk minuman kerana mengandungi kandungan garam yang tinggi.
Jelas Beng Chong, telaga milik keturunan Lim di Kampung Tiong sahaja yang mempunyai bekalan air yang berkualiti baik, segar dan manis serta mempunyai aliran bekalan berterusan.
"Lim Keng Hoon yang merupakan seorang ‘Low Tiey’ atau jurubahasa telah bermurah hati untuk membenarkan orang ramai menggunakan air telaga milik mereka.
"Ia bukan sahaja digunakan masyarakat Cina tetapi orang Melayu dan pedagang yang memerlukan bekalan air yang bersih. Malah, dia juga membenarkan orang ramai untuk berniaga air itu bagi membolehkan lebih ramai orang mendapatkan bekalan air bersih.
"Secara tidak langsung, masyarakat bandar mendapat bekalan air minuman yang cukup semasa kemarau panjang dan meringankan kesusahan yang dialami mereka," katanya.
Sejak itu, telaga berkenaan dinamakan Telaga Low Tiey oleh masyarakat bandar untuk memperingati jasa baik Low Tiey.
Warisan yang terus dipelihara
Sementara itu, Presiden Dewan Perhimpunan Tiong Hua Negeri Terengganu, Tan Beng San berkata, Muzium Negeri Terengganu telah menyerahkan telaga itu kepada mereka untuk terus dijaga dan dipelihara.
Jelas Beng San, pihaknya telah melantik pegawai khas untuk menjaga telaga berkenaan.
"Sebenarnya masih ada yang tidak tahu tentang kewujudan telaga ini, sedangkan ia mempunyai nilai sejarah untuk tatapan generasi akan datang.
"Kami ada bercadang untuk membaik pulih telaga ini supaya ia menjadi tarikan pelancong.
"Kami akan berbincang dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) cara terbaik untuk melaksanakannya agar telaga ini masih berdiri kukuh sebagai warisan peninggalan nenek moyang kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!