Belum putuskan PKPP disambung atau sebaliknya: Ismail Sabri
MUAR - Kerajaan belum membuat keputusan untuk menyambung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) atau tidak selepas 31 Ogos ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut akan diputuskan berdasarkan data jangkitan koronavirus (Covid-19) kira-kira seminggu sebelum PKPP ditamatkan nanti.
"Kita kena tengok keadaan terkini sebelum 31 Ogos ini dan akan bincang balik apa yang akan kita lakukan selepas tarikh itu.
"Dahulu kita pernah capai sifar jangkitan iaitu tiada jangkitan Covid-19 selama tiga hari berturut-turut pada awal bulan lalu.
"Jika tiada kadar jangkitan hingga 31 Ogos mungkin kita akan kata tak perlu lagilah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Kempen Pembudayaan Normal Baharu di Kompleks Sukan Pagoh, Pekan Pagoh di sini yang disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengenai kempen itu, Ismail Sabri berkata, kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan memperkasa rakyat untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti dalam usaha membantu petugas barisan hadapan memerangi jangkitan Covid-19.
Katanya, apabila tempoh PKPP tamat dan statistik Covid-19 mencecah sifar, orang ramai bertanggungjawab terhadap diri sendiri malah mereka merupakan barisan hadapan dan tidak boleh lagi mengharapkan petugas kesihatan, polis atau tentera menjaga mereka.
Ismail Sabri yang juga Pengerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu berkata, ketika ini terdapat individu yang masih degil dan ingkar memakai pelitup muka termasuk mengabaikan pemakaiannya walaupun diwajibkan mulai 1 Ogos lalu.
Katanya, diharap denda RM1,000 ke atas individu ingkar memakai pelitup muka dapat memberi kesedaran kepada rakyat supaya mematuhi arahan ditetapkan.
"Polis diberi budi bicara sepenuhnya sama ada kompaun ataupun tahan individu yang masih berdegil untuk dihadapkan ke mahkamah.
"Setakat hari ini, 3,231 kertas siasatan sudah dihantar polis kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. Peguam Negara berkuasa untuk tentukan sama ada nak buat tuduhan di mahkamah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!