UDA bina 4,455 rumah di Bandar Baru Tanjung Tokong

Wan Junaidi (tengah) diberi penerangan ketika melawat ke Pangsapuri Warisan Tanjung Parcel 4A di Seksyen 1, Bandar Tanjung Tokong hari ini.
Wan Junaidi (tengah) diberi penerangan ketika melawat ke Pangsapuri Warisan Tanjung Parcel 4A di Seksyen 1, Bandar Tanjung Tokong hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - UDA Holdings Berhad (UDA) menerusi anak syarikatnya, UDA Land North Sdn Bhd (ULNSB) akan membina 3,568 unit rumah dalam projek pembangunan semula Bandar Baru Tanjung Tokong di sini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sehingga kini, 4,455 unit telah dibina di kawasan tersebut sejak 1980.

Menurutnya, unit yang akan dibina akan memenuhi keperluan penduduk asal, penduduk yang mempunyai keluarga besar serta keperluan penyewa jangka panjang.

"Bagi projek pembangunan semula ini, jumlah keseluruhan unit rumah yang akan dibina adalah 8,023 iaitu 4,455 telah dibina manakala bakinya akan dibina dalam masa terdekat.

"Skim yang diperkenalkan UDA adalah antara yang terbaik yang mana, setiap penduduk dari komuniti asal hingga penyewa dapat memperoleh kediaman di sini," katanya pada sidang akhbar di sini tadi.

Terdahulu, Wan Junaidi melawat ke tapak projek Pangsapuri Warisan Tanjung Parcel 4A di Seksyen 1, Bandar Tanjung Tokong di sini.

Mengulas mengenai projek tersebut, beliau berkata, pembangunan Pangsapuri Warisan Tanjung ini adalah modul baharu bagi program penempatan semula untuk sesebuah pembangunan.

"Ini selari dengan tunggak utama UDA iaitu memperkasa gaya hidup dengan menyediakan kediaman kekal untuk penempatan semula yang lebih teratur serta selesa. UDA telah menggalas tanggungjawab dan berperanan dalam program penempatan semula penduduk Tanjung Tokong sejak tahun 1972 hingga kini.

Artikel Berkaitan:

"Program penempatan semula seperti ini adalah langkah murni yang diambil bagi mengelakkan penindasan terhadap penduduk awal yang sudah lama menetap di kawasan bandar ini. Usaha penempatan semula penduduk Tanjung Tokong juga dapat dilaksanakan dengan baik hasil usaha sama bersepadu antara agensi jawatankuasa pemandu kerajaan negeri dan kerajaan tempatan," katanya.

Tambahnya, seiring dengan pembangunan penempatan semula tersebut, UDA turut memfokus pada pembangunan hartanah komersial merangkumi pembangunan bercampur (pembangunan campuran) di sekitar kawasan Tanjung Tokong.

Jelasnya, serahan kunci kepada penduduk bagi projek itu dijangka akan dilaksanakan pada Oktober ini.

Pangsapuri Warisan Tanjung Parcel 4A dibina di atas tapak 3.24 hektar merangkumi 10 blok dengan jumlah 550 unit kediaman.

Projek itu terdiri daripada 210 unit di lima blok 6 tingkat dengan keluasan 850 kaki persegi seunit manakala 340 unit lagi meliputi lima blok 9 dan 10 tingkat berkeluasan 800 kaki persegi setiap unit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!