'Kerajaan perlu ambil tindakan terhadap wakil rakyat kurang ajar'
KUANTAN - Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap wakil rakyat yang menggunakan bahasa kasar, kurang ajar dan cemuhan semasa perbahasan di Dewan Rakyat.
Pengasas Yayasan Budi, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, sejak kebelakangan ini wakil rakyat dilihat kerap berbuat demikian dan ia menyaksikan betapa rendahnya nilai murni dalam kalangan masyarakat di negara ini.
"Meskipun undang-undang di Parlimen sudah mempunyai garis panduan di mana Speaker mempunyai kuasa menghalau wakil rakyat kurang ajar untuk keluar dewan, namun sudah tiba masa ia diperkuatkan lagi dengan campur tangan kerajaan dan Perdana Menteri.
"Ia boleh menjadi contoh yang tidak elok jika tidak dikekang kepada generasi muda.apatah lagi sidang tersebut kini boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja menerusi platform virtual," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penyampaian hadiah sempena Pertandingan Fotografi Nilai- nilai Murni Yayasan Budi di Gelanggang Budi Taman Teluk Cempedak di sini hari ini.
Hadir sama Exco Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman; Pengarah Jabatan Kebudayaan, Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang, Dayang Kartini Awang Bujang.
Pertandingan Fotografi anjuran Yayasan Budi bertemakan Amalan Nilai Murni Dalam Masyarakat berjaya menarik 187 foto penyertaan yang dihantar oleh 51 peserta.
Rais berkata, Biro Kebudayaan Yayasan Budi akan menghantar cadangan supaya wakil rakyat yang kurang ajar dan semasa perbahasan di Dewan Rakyat dikenakan tindakan tegas kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Badan bukan kerajaan (NGO) hanya boleh menegur dan memberi cadangan tetapi kerajaan perlu bertindak," katanya.
Menurutnya, generasi muda perlu diberikan lebih penekanan dan pendedahan tentang budi bahasa dan sopan santun terutama di peringkat sekolah dan pusat pengajian.
Beliau berkata, Yayasan Budi akan terus mempromosikan amalan nilai murni dalam masyarakat khususnya untuk membimbing generasi muda.
"Masalah budi dipamerkan 'dari atas sampai ke bawah'. Kita tak dapat nak kata apa sudah jadi kepada sebahagian rakyat, pemimpin,orang pertengahan dan murid-murid yang kita sebut petualang atau juara.
"Dari Parlimen membawa ke sekolah.. kilang ke pasar... budi sudah tidak ada. Ertinya budaya sudah hilang. Budi sebesar alam. Boleh dilipat menjadi sebesar kuku. Kita mesti anti kepada hal yang merosakkan tamadun kita," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Yayasan Budi turut menjalin kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta badan lain untuk mempromosikan pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan mengangkat kembali skrip jawi sebagai budaya Melayu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!