Kerajaan hadapi cabaran basmi kemiskinan: Mustapa

MUSTAPA
MUSTAPA
A
A
A

JELI - Kerajaan akan memastikan matlamat membasmi kemiskinan di negara ini menerusi Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan (SDG) dapat dicapai.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Sri Mustapa Mohamed berkata, SDG adalah rangka tindakan universal yang diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diterima pakai 193 negara anggota sebagai panduan menyusun agenda serta dasar pembangunan dalam tempoh 2016 hingga 2030.

Bagaimanapun menurutnya, dalam usaha untuk merealisasikan hasrat dunia itu negara ini menghadapi pelbagai cabaran.

“(Basmi kemiskinan) pada tahun 2030 adalah agenda antarabangsa. Jadi kita hendak pastikan di peringkat kebangsaan kita akan mencapainya.

“Dunia telah menetapkan Matlamat 2030 sebagai contohnya, kalau sekarang terdapat kes kemiskinan di Afrika dan India ataupun kebuluran di mana-mana pun, dunia membuat ketetapan untuk menghapuskan semua itu.

“Sudah pasti mencabar (buat Malaysia) kerana kita mempunyai banyak masalah dengan pandemik koronavirus (Covid-19), masalah alam sekitar, iklim dan banyak lagi masalah lain tetapi ini merupakan matlamat semua negara,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan bersama 14 penyelidik Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (KRPPM-SDG) di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen di sini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kementeriannya diberikan tanggungjawab untuk menjalankan pemantauan sejauh mana Malaysia telah berjaya mencapai matlamat SDG yang digariskan untuk digunapakai oleh negara-negara anggota PBB.

Artikel Berkaitan:

“Sebahagian besarnya kita telah capai, umpamanya kemiskinan banyak kejayaan dibuat tetapi PBB mahu kita basminya, itu yang belum dicapai lagi. Membasmi kemiskinan antara 17 SDG yang disenaraikan.

“Keduanya untuk membasmi kebuluran, itu saya rasa tidak ada di Malaysia, kalau ada memang banyak NGO (badan bukan kerajaan) membantu dan kerajaan sendiri yang akan memastikan tidak ada rakyat Malaysia kebuluran.

“Termasuklah semasa pandemik Covid-19, kita tidak ada masalah kerana NGO, kerajaan, masyarakat dan negeri banyak membantu untuk meringankan beban rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baharu, kadar kemiskinan negara adalah 5.6 peratus bagi tahun 2019.

Katanya, kadar kemiskinan pada tahun 2016 adalah 0.4 peratus yang diukur berdasarkan metodologi PGK 2005 dan sekiranya kaedah PGK 2019 digunakan bagi mengukur kadar kemiskinan tahun 2016, peratusan adalah 7.6 peratus.

“Penurunan 2 peratus itu satu kejayaan tetapi PBB mahu kita basmi kemiskinan pada 2030. Jadi kementerian sedang merangka dan sudah melihat dasar serta kaedah lama yang digunapakai untuk membasmi kemiskinan,” katanya.

Katanya, langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan menerusi kementerian tertentu telah banyak membantu rakyat meningkatkan pendapatan seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!