'Cubaan Bersatu Blackout kucar-kacirkan parti'
SHAH ALAM - Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyangkal dakwaan lebih 70 peratus ahli parti itu di semenanjung akan keluar parti bagi menyokong parti baharu diketuai bekas presidennya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, dakwaan berkenaan tidak berasas kerana sokongan yang diberikan ahli akar umbi tidak berubah meskipun Dr Mahathir telah menubuhkan parti baharu.
"Mengambil contoh situasi pada perasmian Bersatu Bahagian di Terengganu hari ini, lebih 700 ahli hadir sekali gus membuktikan sokongan akar umbi masih utuh terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Kalau dia suka atau tidak suka dengan parti yang dia ada, semalam Tun (Dr Mahathir) sudah umum buat parti baru, (pasti) sudah ramai orang keluar, mereka akan sabotaj perasmian pagi ini tetapi ini tidak berlaku di Terengganu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Razali berkata, dakwaan yang dibuat bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi itu adalah suara orang yang kalah dalam pemilihan ketua bahagian baru-baru ini.
"Kalau dia (Akhramsyah) kata 10 peratus saya setuju, tapi kalau kata 70 peratus itu andaian yang bukan-bukan," katanya.
Sementara itu, pandangan sama disuarakan Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muzzammil Ismail yang menyifatkan dakwaan itu lebih kepada usaha kumpulan Bersatu Blackout untuk kucar-kacirkan parti.
"Jadi saya tidak nampak yang jumlah 70 peratus tu boleh muncul, sebab sekarang ini kami (Bersatu) dalam fasa pemilihan parti dan boleh dikatakan 80 peratus bahagian sudah pun bersidang dan mempunyai jawatankuasa di peringkat bahagian masing-masing
"Ini memperlihatkan sebenarnya parti Bersatu sudah lebih tersusun berbanding sebelum ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Lebih 70 peratus ahli Bersatu dijangka keluar parti
Semalam, Akhramsyah Muammar dilaporkan berkata, lebih 70 peratus ahli akar umbi dari Bersatu di semenanjung akan meninggalkan parti itu bagi menyokong parti baharu diketuai Dr Mahathir.
Katanya, jangkaan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini mengenepikan kes saman bekas pengerusinya, Dr Mahathir dan empat Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat parti ke atas Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga pihak lagi hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!